BANTUAN UNTUK KELUARGA | CARA MEMBESARKAN ANAK
Manfaat Melakukan Aktiviti Kreatif
Istilah “aktiviti kreatif” merujuk kepada aktiviti yang merangsang sifat ingin tahu dan daya imaginasi kanak-kanak. Aktiviti sebegini dapat membantu kanak-kanak menjadi lebih matang dan mahir menggunakan tangan.
Contohnya:
Melukis
Memasak (di bawah pengawasan orang dewasa)
Main peranan
Menyanyi
Bermain dengan blok mainan
Bermain dengan barang yang ringkas (bahkan sebuah kotak biasa dapat merangsang daya imaginasi)
Di banyak negara, kanak-kanak biasanya lebih banyak menonton rancangan atau melakukan aktiviti yang diaturkan orang lain berbanding melakukan aktiviti kreatif.
Patutkah anda risau akan hal ini?
Apa yang perlu anda ketahui
Aktiviti kreatif dapat menyumbang kepada perkembangan kanak-kanak. Aktiviti sebegini dapat meningkatkan tahap kesihatan fizikal dan mental, tahap kreativiti, dan kemahiran sosial mereka. Kanak-kanak akan belajar untuk bersabar, membuat keputusan yang baik, dan mengawal emosi. Mereka juga akan belajar cara untuk bergaul dengan orang lain semasa bermain secara berkumpulan. Pendek kata, aktiviti kreatif akan membantu kanak-kanak bersedia untuk alam dewasa.
Pendedahan kepada media elektronik secara berlebihan dapat membawa kesan yang buruk. Kanak-kanak yang didedahkan kepada media elektronik secara berlebihan mungkin menjadi ketagih, dan hal ini dapat menyumbang kepada obesiti kanak-kanak dan kelakuan yang agresif. Ibu bapa yang menggunakan media elektronik sebagai “pengasuh” bagi anak kecil mereka harus sedar akan hal ini.
Aktiviti yang diaturkan orang lain ada kelemahannya. Anak-anak tidak akan mempunyai masa yang cukup untuk melakukan aktiviti kreatif jika ibu bapa menjadualkan terlalu banyak aktiviti bagi mereka. Tetapi sebenarnya, anak-anak perlu melakukan aktiviti yang dapat merangsang sifat ingin tahu dan kreativiti mereka.
Apa yang dapat anda lakukan
Berilah anak anda peluang untuk melakukan aktiviti kreatif. Jika keadaan mengizinkan, biarlah anak-anak anda bermain di luar supaya mereka dapat membiasakan diri dengan alam semula jadi. Biarlah mereka melakukan hobi dan bermain dengan mainan yang akan merangsang kreativiti mereka. a
Fikirkan: Apakah sifat-sifat dan kemahiran yang dapat dipupuk anak saya melalui aktiviti kreatif? Bagaimanakah hal ini membawa manfaat kepadanya pada kemudian hari?
Prinsip Bible: ‘Senaman membawa manfaat.’—1 Timotius 4:8, nota kaki.
Hadkan penggunaan alat elektronik. Fikirlah baik-baik sebelum membiarkan anak anda menghabiskan masa di depan telefon, tablet, atau TV. Pakar kanak-kanak menyarankan agar kanak-kanak di bawah umur dua tahun tidak menggunakan alat elektronik. Bagi kanak-kanak yang berumur antara dua hingga lima tahun, mereka tidak digalakkan untuk menggunakan alat elektronik lebih daripada satu jam setiap hari. b
Fikirkan: Berapa lamakah masa yang patut saya tetapkan bagi anak saya untuk menggunakan alat elektronik? Patutkah saya menemaninya? Selain menggunakan media elektronik, apakah hal lain yang boleh dilakukan anak saya?
Prinsip Bible: “Perhatikanlah kelakuan kamu dengan teliti. Janganlah hidup sebagai orang yang bodoh, sebaliknya hiduplah sebagai orang yang bijak. Gunakanlah masa kamu dengan sebaik-baiknya.”—Efesus 5:15, 16.
Pertimbangkan kesan aktiviti yang diaturkan untuk anak anda. Memang benar, aktiviti sebegini dapat meningkatkan kecekapan anak anda dalam suatu kemahiran atau sukan. Namun, apabila terlalu banyak aktiviti diaturkan, anak-anak akan berasa stres. Ibu bapa juga akan berasa stres kerana sibuk menghantar dan menjemput anak mereka. Sudah tentu, prinsip di Efesus 5:15, 16 tentang menggunakan masa dengan bijak patut diterapkan dalam hal ini juga.
Fikirkan: Adakah kami mengaturkan terlalu banyak aktiviti untuk anak kami? Jika ya, apakah penyesuaian yang boleh kami buat?
Prinsip Bible: ‘Kenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.’—Filipi 1:10.
a Banyak mainan yang dijual tidak menggalakkan kreativiti kanak-kanak. Sebaliknya, mainan atau barang yang ringkas, seperti blok mainan dan kotak, membolehkan kanak-kanak menggunakan daya imaginasi mereka.
b Dalam rencana ini, “penggunaan alat elektronik” merujuk kepada hiburan, dan bukannya hal seperti membuat panggilan video bersama orang tersayang atau menonton program pendidikan atau rohani bersama keluarga.