BANTUAN UNTUK KELUARGA | CARA MEMBESARKAN ANAK
Apabila Anak Ingin Mengakhiri Nyawanya
Beberapa tahun kebelakangan ini, angka remaja yang membunuh diri telah meningkat secara mendadak di beberapa negara. Apakah yang berlaku? Adakah anak anda juga mempunyai fikiran sebegitu?
Dalam rencana ini
Bunuh diri dalam kalangan anak muda—mengapakah ibu bapa patut berasa risau?
Dari tahun 2009 hingga 2019, jumlah pelajar sekolah menengah di Amerika Syarikat yang mempunyai simptom kemurungan telah meningkat sehingga 40 peratus. Angka bunuh diri juga meningkat pada masa itu. a
“Cabaran yang dihadapi oleh orang muda hari ini tidak pernah berlaku sebelum ini . . . Kesan cabaran tersebut terhadap kesihatan mental mereka amat teruk.”—Vivek H. Murthy, Pakar Bedah Am A.S.
Prinsip Bible: “Hati yang hancur mematahkan semangat.”—Amsal 17:22.
Bagaimanakah anda dapat tahu jika anak anda ingin bunuh diri?
Pertimbangkan faktor-faktor berikut.
Kejadian. Adakah anak anda menghadapi tragedi tertentu, seperti disisihkan, putus cinta, kegagalan, atau kematian orang tersayang? Jika ya, hal itu mungkin mempengaruhinya lebih daripada yang anda sangkakan.
Tingkah laku. Adakah anak anda menjauhi keluarga atau kawan-kawannya, atau hilang minat terhadap aktiviti yang dia suka sebelum ini? Adakah dia memberikan barang kesayangannya kepada orang lain?
Kata-kata. Adakah anak anda bercakap tentang kematian atau ucapkan kata-kata seperti, “Bagus lagi jika saya mati.” Adakah dia mengatakan bahawa dia tidak mahu menjadi beban kepada anda?
Memang, ada kalanya dia mungkin sekadar ucapkan “kata-kata yang melulu.” (Ayub 6:3) Namun, ada sesetengahnya mungkin menunjukkan bahawa dia inginkan bantuan. Jadi, janganlah abaikan apa pun yang anak anda katakan tentang rasa ingin bunuh diri.
Jika anak anda berkata bahawa dia pernah fikir untuk bunuh diri, anda boleh tanya, “Pernahkah kamu fikir bila dan bagaimana kamu akan melakukannya?” Jawapannya dapat menunjukkan seberapa serius situasi itu.
“Sebagai ibu bapa, kita mungkin tidak mahu tanya anak kita soalan sebab kita takut dengar jawapan mereka. Tapi jika apa yang mereka katakan menunjukkan perasaan mereka yang sebenarnya, bukankah lebih baik kita mengetahuinya?”—Sandra.
Prinsip Bible: “Fikiran manusia bagaikan air di perigi yang dalam, tetapi orang yang berpengertian dapat menimbanya.”—Amsal 20:5, Alkitab Berita Baik.
Bagaimanakah jika anak anda berfikir untuk bunuh diri?
Dengan sabar, cubalah mengetahui fikiran dan perasaan anak. Mula-mula, pujilah dia kerana bersikap jujur. Kemudian anda mungkin boleh berkata, “Saya mahu faham apa yang kamu lalui baru-baru ini, jadi beritahulah saya perasaan kamu” atau “Boleh kamu beritahu kenapa kamu rasa begitu?”
Dengarlah dengan sabar semasa anak anda menjawab soalan anda. Elakkan daripada meremehkan perasaannya atau cepat-cepat memberikan “penyelesaian.”
Prinsip Bible: “Setiap orang mesti cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata dan lambat naik marah.”—Yakobus 1:19.
Buat suatu rancangan untuk pastikan anak anda selamat. Bantu anak anda kenal pasti dan tulis jawapan kepada soalan berikut:
Tanda bahaya. Biasanya apakah yang dia lakukan atau fikirkan sebelum dia berfikir untuk bunuh diri?
Aktiviti yang membantu. Apakah aktiviti yang paling berkesan untuk membantu anak anda mengurangkan tekanannya dan mengalihkan perhatiannya?
Orang yang dapat membantu. Adakah anak anda mempunyai sekumpulan orang yang dapat membantunya? Mereka mungkin merangkumi anda, orang dewasa lain yang dapat dipercayai, pakar kesihatan mental, atau agensi yang dilatih untuk membantu orang yang ingin bunuh diri.
Prinsip Bible: “Rancangan yang dibuat dengan teliti pasti membawa kejayaan.”—Amsal 21:5.
Terus berjaga-jaga. Pastikan anda terus memeriksa situasi anak anda, bahkan selepas anak anda berasa lebih baik.
“Semasa anak saya berkata bahawa dia tidak lagi ingin bunuh diri, saya fikir masalahnya sudah selesai. Itu satu kesilapan yang besar. Sesuatu hal dapat berlaku secara tiba-tiba, yang dapat menyebabkan seseorang ingin bunuh diri lagi.”—Daniel.
Bantu anak remaja anda memahami kebenaran penting tentang perasaan: Perasaan hanya sementara. “Perasaan seperti cuaca,” kata buku The Whole-Brain Child. “Hujan itu nyata dan memang bodoh jika kita berdiri di tengah hujan lebat dan berfikir seolah-olah hujan tidak turun. Namun adalah tidak bijak juga untuk berfikir bahawa matahari tidak akan muncul lagi.”
Berikan keyakinan. Beritahulah anak anda bahawa anda mengasihinya dan bahawa dia boleh bergantung pada anda untuk dapatkan sokongan. Anda boleh berkata, “Saya akan lakukan apa sahaja yang terdaya untuk bantu kamu lalui semua ini.”
Prinsip Bible: “Sahabat sejati sentiasa menunjukkan kasih; sahabat sejati bagaikan saudara kandung yang dapat diharapkan pada masa kesusahan.”—Amsal 17:17.
a Kebanyakan orang yang menderita kemurungan tidak bunuh diri. Namun dalam kalangan orang yang telah membunuh diri kebanyakannya menderita kemurungan pada masa itu.