BANTUAN UNTUK KELUARGA | CARA MEMBESARKAN ANAK
Mengapakah Membaca Penting untuk Anak—Bahagian 1: Membaca atau Menonton?
Jika diberi pilihan, manakah yang anak anda lebih suka? Tengok video atau membaca? Adakah mereka lebih suka pegang fon atau buku?
Sejak puluhan tahun dahulu, budaya membaca makin merosot. Mengapa? Hal ini kerana adanya televisyen dan bahan visual online. Dalam bukunya, Endangered Minds, yang dikeluarkan pada 1990, Jane Healy menulis, “Tidak lama lagi, orang mungkin akan berhenti membaca.”
Pada masa itu, kata-katanya nampaknya tidak realistik. Tapi kini, ramai pendidik di negara yang maju memperhatikan bahawa secara purata, kemahiran membaca anak muda sudah merosot.
Dalam rencana ini
Mengapakah membaca penting untuk anak-anak?
Membaca mengembangkan daya imaginasi. Penulis dapat menyampaikan sesetengah maklumat. Tetapi pembaca perlu membayangkan isi yang selebihnya. Contohnya, apakah nada atau suara watak itu? Bagaimana pula dengan penampilannya? Apakah pemandangan atau latar cerita itu?
“Semasa menonton sesuatu, kita sedang melihat imaginasi orang lain,” kata seorang ibu yang bernama Laura. “Itu memang seronok. Tapi lebih syok kalau kita menggunakan imaginasi sendiri dan membayangkan apa yang ditulis.”
Membaca membantu memupuk sifat baik. Semasa anak membaca, mereka mengembangkan kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah. Selain itu, membaca memerlukan fokus. Jadi ini mengajar mereka untuk menumpukan perhatian, bersabar, mengawal diri, dan bersikap empati.
Apa kaitan empati dengan membaca? Para penyelidik percaya bahawa semasa anak membaca dengan perlahan, mereka dapat menghayati perasaan watak dalam cerita. Hal itu dapat membantu anak bersikap empati dalam hidup mereka.
Membaca mendorong pemikiran yang dalam. Seseorang yang membaca dengan teliti akan mengambil masanya atau membaca semula sesetengah bahagian untuk memahami kandungan cerita. Hal ini menguatkan memori mereka dan membantu mereka mendapat pengajaran daripada apa yang dibaca.—1 Timotius 4:15.
Seorang bapa yang bernama Joseph kata, “Semasa membaca, kamu dapat merenungkan maksud tersirat, mengaitkannya dengan apa yang kamu tahu, dan mendapat pengajaran daripadanya. Biasanya semasa menonton video, kita tidak perlu fikir dengan begitu mendalam.”
Kesimpulannya: Video dan bahan visual bermanfaat, tapi anak-anak memang akan rugi jika mereka jarang membaca.
Cara menyemai tabiat membaca
Mula dari kecil lagi. Chloe, yang mempunyai dua anak lelaki berkata, “Semasa anak masih dalam rahim, kami sudah mula membaca untuk mereka. Kami teruskan tabiat ini bahkan selepas mereka lahir. Sekarang, mereka sangat suka membaca.”
Prinsip Bible: “Sejak bayi lagi, kamu telah mengenal tulisan-tulisan suci.”—2 Timotius 3:15.
Sediakan suasana yang betul. Pastikan buku-buku senang dicapai. Tamara yang ada empat anak berkata, “Carilah buku yang anak kamu suka dan letakkannya dekat katilnya.”
Prinsip Bible: “Ajarilah anak haluan yang harus ditempuhnya; maka sampai tua pun dia tidak akan menyimpang daripada haluan itu.”—Amsal 22:6.
Hadkan penggunaan Internet. Seorang bapa yang bernama Daniel mencadangkan satu petang tanpa menggunakan alat elektronik. Dia berkata, “Biarpun kami hanya dapat buat begini sekali seminggu, itulah masanya kami boleh membaca bersama atau bersendiri tanpa gangguan TV.”
Prinsip Bible: “Mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.”—Filipi 1:10.
Jadilah teladan yang baik. Karina, seorang ibu kepada dua anak perempuan berkata, “Bacalah dengan penuh perasaan dan buatlah cerita menjadi hidup. Ini akan membangkitkan minat mereka untuk membaca. Jika kamu suka membaca, mungkin mereka pun akan memupuk tabiat yang sama.”
Prinsip Bible: “Teruslah mencurahkan usaha untuk membaca di hadapan umum.”—1 Timotius 4:13.
Secara realistik, memang bukan semua anak akan suka membaca. Namun, galakan anda pasti akan membawa kesan positif kepada mereka. David, seorang bapa yang ada dua anak perempuan, sanggup mencurahkan lebih banyak usaha demi anaknya. Dia berkata, “Saya mahu tahu apa yang anak-anak saya minat dan apa yang kami boleh bualkan. Jadi saya akan baca buku-buku yang mereka baca. Kami bahkan ada kelab membaca sendiri. Memang seronok!”