Lompat ke kandungan

BANTUAN UNTUK KELUARGA

Apabila Pandangan Berbeza

Apabila Pandangan Berbeza

 Banyak pasangan yang berkahwin perlu menangani perbezaan dari segi minat, kebiasaan, dan keperibadian. Tambahan lagi, terdapat beberapa perkara yang lebih sukar ditangani. Misalnya,

  •   Jumlah masa yang diluangkan bersama saudara-mara

  •   Cara untuk mengurus wang

  •   Mempunyai anak atau tidak

 Jika anda dan pasangan anda tidak sefahaman, apakah yang dapat anda lakukan?

 Apakah yang perlu anda ketahui?

 Serasi tidak bermaksud sependapat. Suami isteri yang paling serasi pun tidak semestinya selalu sependapat, bahkan dalam hal-hal yang serius.

 “Saya dibesarkan dalam keluarga yang suka meluangkan masa bersama. Pada hujung minggu, kami akan meluangkan masa bersama datuk, nenek, pak cik, mak cik, dan sepupu saya. Keluarga suami saya pula tidak biasa berkumpul dan bergaul. Oleh itu, pandangan kami berbeza mengenai jumlah masa yang harus diluangkan bersama keluarga ataupun untuk berhubung dengan saudara-mara yang tinggal berjauhan.”—Tamara.

 “Disebabkan latar belakang keluarga kami, saya dan isteri saya mempunyai pandangan yang berbeza mengenai cara menggunakan wang. Dalam tempoh beberapa bulan selepas kami berkahwin, kami telah bertengkar beberapa kali kerana isu ini. Selepas banyak berbincang, barulah kami dapat mencapai persetujuan.”—Tyler.

Dua orang yang melihat pemandangan yang sama mungkin melihatnya dengan perspektif yang berbeza. Begitu juga, suami isteri mungkin mempunyai pandangan yang berbeza tentang isu yang sama

 Sesetengah masalah tidak dapat diselesaikan dengan hanya bertolak ansur. Sebagai contoh, apakah yang harus dilakukan jika ibu atau bapa mertua jatuh sakit dan perlu dijaga? Bagaimana pula jika salah seorang suami atau isteri menginginkan cahaya mata manakala pasangannya tidak mahu? a

 “Saya dan isteri saya telah berkali-kali berbincang sama ada mahu anak atau tidak. Kebelakangan ini dia asyik memikirkannya. Jadi, pandangan kami semakin bercanggah. Saya tidak tahu bagaimana kami boleh bertolak ansur dalam hal ini.”—Alex.

 Perkahwinan masih dapat berjaya biarpun pasangan mempunyai pandangan yang berlainan. Sesetengah pakar mengatakan bahawa jika anda dan pasangan anda tidak sependapat, anda harus melakukan apa-apa sahaja, termasuk menamatkan perkahwinan anda, demi mempertahankan pendirian sendiri. Namun, tindakan ini terlalu mementingkan diri dan meremehkan ikrar perkahwinan anda untuk tetap setia kepada pasangan anda dalam suka dan duka.

 Apakah yang dapat anda lakukan?

 Bertekadlah untuk menunaikan ikrar perkahwinan anda. Dengan itu, anda tidak akan menganggap pasangan anda sebagai pesaing. Sebaliknya, anda berdua akan bekerjasama seperti satu pasukan untuk menyelesaikan masalah.

 Prinsip Bible: “Mereka yang telah disatukan oleh Tuhan tidak boleh dipisahkan oleh manusia.”—Matius 19:6.

 Buatlah pertimbangan dengan baik. Contohnya, jika salah seorang suami atau isteri menginginkan anak tetapi pasangannya tidak setuju, pertimbangkanlah faktor-faktor seperti:

  •   Hubungan suami isteri.

     Dapatkah anda berdua menangani tekanan yang timbul semasa membesarkan anak?

  •   Tanggungjawab sebagai ibu bapa.

     Selain menyediakan makanan, pakaian, dan tempat tinggal untuk anak, ibu bapa juga mempunyai banyak tanggungjawab yang lain.

  •   Keadaan kewangan.

     Dapatkah anda mengendalikan pekerjaan, keluarga, dan tanggungjawab lain dengan seimbang?

 Prinsip Bible: “Siapakah antara kamu yang ingin membina sebuah menara, tetapi tidak duduk dan mengira perbelanjaannya terlebih dahulu?”—Lukas 14:28.

 Pertimbangkanlah setiap aspek yang berkaitan. Anda mungkin dapat mencari penyelesaian bagi sesetengah isu yang dipertikaikan. Contohnya, jika isunya berkaitan dengan hal mempunyai anak, pasangan yang tidak setuju boleh menanya diri:

  •   “Adakah saya langsung tidak mahu anak atau saya hanya tidak mahu ada anak buat masa sekarang?”

  •   “Adakah saya teragak-agak kerana saya meragui kemampuan saya untuk menjadi seorang ibu atau bapa yang baik?”

  •   “Adakah saya risau diabaikan oleh pasangan saya?”

 Sebaliknya, pasangan yang menginginkan anak boleh menanya diri:

  •   “Adakah kami sudah bersedia untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa?”

  •   “Adakah kami mampu membiayai perbelanjaan untuk membesarkan anak?”

 Prinsip Bible: “Kebijaksanaan yang datang dari syurga . . . munasabah.”—Yakobus 3:17.

 Mengakui bahawa pandangan pasangan anda juga mempunyai kelebihan tertentu. Sepertimana dua orang yang melihat pemandangan yang sama mungkin melihatnya dengan perspektif yang berbeza, pasangan suami isteri juga mungkin mempunyai pandangan yang berbeza tentang isu yang sama, seperti cara menggunakan wang. Jika ada pendapat yang bercanggahan, bincangkanlah dahulu hal-hal yang anda berdua dapat terima.

  •   Apakah matlamat yang anda berdua setujui?

  •   Apakah kelebihan dalam pandangan masing-masing?

  •   Demi mempertahankan perkahwinan anda, bolehkah anda mengubah pandangan anda?

 Prinsip Bible: “Hendaklah setiap orang sentiasa berusaha melakukan apa yang berfaedah bagi orang lain, dan bukan hanya melakukan apa yang berfaedah bagi diri sendiri.”—1 Korintus 10:24.

a Perkara-perkara yang serius harus dibincangkan terlebih dahulu sebelum berkahwin. Namun, terdapat masalah yang akan timbul tanpa diduga. Selain itu, pendirian seorang suami atau isteri mungkin berubah seraya masa berlalu.—Pengkhutbah 9:11.