KAUM MUDA BERTANYA
Apakah Pandangan Saya terhadap Kritikan yang Membina?
Ujilah diri sendiri
Dari masa ke masa, kita memerlukan kritikan yang membina. Kritikan sebegini dapat membantu kita untuk memperbaik lagi sifat kita dan cara kita melakukan suatu tugas. Perhatikan situasi berikut:
● Cikgu mendapati bahawa kerja sekolah kamu baru-baru ini tidak dibuat dengan baik. Dia berkata, “Kamu harus menggunakan lebih banyak masa untuk membuat kajian.”
Apakah reaksi kamu terhadap kritikan yang membina ini?
Menolaknya. (“Cikgu memang tidak suka saya.”)
Menerimanya. (“Saya akan ikut nasihat cikgu untuk projek seterusnya.”)
● Ibu berkata bahawa bilik kamu berselerak biarpun kamu sudah membersihkannya.
Apakah reaksi kamu terhadap kritikan yang membina ini?
Menolaknya. (“Ibu selalu begitu dan tidak pernah puas hati dengan apa yang saya buat.”)
Menerimanya. (“Saya mengaku saya boleh membersihkan bilik dengan lebih baik lagi.”)
● Adik berkata bahawa dia tidak suka sikap kamu yang suka mengarah.
Apakah reaksi kamu terhadap kritikan yang membina ini?
Menolaknya. (“Dia tidak berhak cakap begitu. Dia pun suka mengarah!”)
Menerimanya. (“Nampaknya saya boleh melayannya dengan lebih baik.”)
Sesetengah kaum muda bagaikan tembikar yang mudah pecah. Apabila mereka diberikan kritikan yang membina, mereka cepat berasa kecewa dan menjadi marah. Adakah kamu juga seperti itu? Jika ya, hal itu sebenarnya merugikan kamu! Mengapa? Kerana sikap sudi menerima kritikan yang membina merupakan kemahiran penting yang dapat membantu kamu baik sekarang mahupun semasa kamu menjadi dewasa kelak.
Mengapakah saya memerlukan kritikan yang membina?
Kerana kamu tidak sempurna. Bible berkata, “Kita semua sering berbuat silap.” (Yakobus 3:2) Oleh itu, semua orang memerlukan kritikan yang membina.
“Saya selalu ingat bahawa semua orang tidak sempurna dan akan berbuat silap. Dengan itu, saya dibantu untuk belajar daripada nasihat yang diberikan dan berusaha agar tidak melakukan kesilapan yang sama.”—David.
Kerana kamu dapat buat dengan lebih baik lagi. Bible berkata, “Ajarlah orang yang bijaksana, dan dia akan menjadi lebih bijaksana.” (Amsal 9:9) Kritikan yang membina dapat memberi kamu manfaat jika kamu menerimanya.
“Dulu saya ada pandangan yang salah tentang kritikan. Saya rasa hal itu memalukan saya. Tetapi sekarang saya terima kritikan dan mengambil inisiatif untuk meminta nasihat, kerana saya ingin membuat kemajuan.”—Selena.
Memang senang untuk menerima kritikan jika kamu yang memintanya. Namun keadaan mungkin berbeza apabila kritikan diberikan tanpa diminta. Natalie pernah mengalaminya. Dia berkata, “Saya terkejut dan rasa tawar hati kerana saya masih dikritik walaupun sudah banyak berusaha!”
Pernahkah kamu mengalami hal yang sama? Jika ya, bagaimanakah kamu dapat menanganinya?
Bagaimanakah saya boleh menerima kritikan yang membina?
Dengarlah dengan teliti.
Bible berkata, “Orang yang berpengetahuan mengawal pertuturannya, dan orang yang berpengertian sentiasa tenang.” (Amsal 17:27) Janganlah menyampuk semasa orang sedang bercakap dengan kamu dan janganlah menjawab dengan terburu-buru. Dengan itu, kamu tidak akan mengatakan sesuatu yang menyebabkan kamu menyesal pada kemudian hari.
“Apabila saya menerima kritikan, saya cenderung untuk membela diri. Sebaliknya, saya harus belajar daripada nasihat itu dan buat dengan lebih baik lagi.”—Sara.
Berfokuslah kepada mesej, bukan kepada pemberinya.
Kamu mungkin cuba mencari kesalahan orang yang memberikan kritikan itu. Namun adalah lebih baik untuk mengikut nasihat Bible untuk “cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata dan lambat naik marah.” (Yakobus 1:19) Kritikan yang diberikan sering kali ada manfaatnya. Janganlah tutup telinga terhadap kritikan yang kamu perlu dengar hanya kerana kamu tidak mahu mendengarnya.
“Dulu semasa ibu bapa memberikan nasihat, saya akan naik marah dan cakap, ‘Saya tahu, saya tahu.’ Tetapi sebenarnya hasilnya jauh lebih baik apabila saya mendengar nasihat mereka dengan teliti dan melakukannya.”—Edward.
Pupuklah pandangan yang seimbang terhadap diri kamu.
Walaupun kamu diberikan kritikan, hal itu tidak bermaksud kamu sudah gagal. Hakikatnya semua orang, termasuk kamu, pun mempunyai kelemahan masing-masing. Orang yang memberikan kritikan juga memerlukan kritikan yang membina dari masa ke masa. Sebenarnya Bible berkata, “Tiada orang baik di bumi yang selalu berbuat baik dan tidak pernah berdosa.”—Pengkhutbah 7:20.
“Seorang kawan memberi saya kritikan yang membina, tetapi saya rasa saya tidak memerlukannya. Saya ucapkan terima kasih kerana dia berterus terang dengan saya, tetapi sebenarnya hati saya tersinggung. Seraya masa berlalu, saya sedar bahawa kritikannya betul juga. Saya bersyukur kerana tanpa nasihatnya, saya mungkin tidak akan sedar tentang kelemahan saya.”—Sophia.
Tetapkanlah matlamat untuk membuat kemajuan.
Bible berkata bahawa “orang bijak menerima teguran.” (Amsal 15:5) Setelah kamu menerima kritikan, kamu dapat mengatasi perasaan sakit hati, lalu berusaha untuk memperbaik diri. Buatlah rancangan dan perhatikan kemajuan yang kamu lakukan dalam beberapa bulan yang seterusnya.
“Orang yang sudi menerima kritikan biasanya orang yang jujur. Kamu perlu jujur terhadap diri sendiri, barulah kamu dapat mengakui dan meminta maaf atas kesilapan kamu, dan belajar untuk membuat perubahan.”—Emma.
Pengajarannya: Bible berkata, “Sebagaimana besi diasah oleh besi, demikianlah manusia belajar daripada satu sama lain.” (Amsal 27:17) Kritikan yang membina adalah seperti alat yang dapat mengasah kamu, baik sekarang mahupun apabila kamu menjadi dewasa kelak.