KAUM MUDA BERTANYA
Pentingkah Bersikap Sopan?
“Orang tidak pernah membuka pintu untuk saya; buat apa saya mahu buka pintu untuk orang lain?”
“Bukankah ada banyak perkara yang lebih penting daripada berkata ‘tolong,’ ‘terima kasih,’ dan ‘maaf’?”
“Saya tidak perlu bersikap sopan semasa bersama adik-beradik saya. Kami sekeluarga, bukan?”
Adakah kamu biasa berkata sedemikian? Jika ya, kamu sebenarnya rugi, kerana bersikap sopan itu banyak manfaatnya!
Apa yang perlu kamu tahu tentang bersikap sopan
Apabila kamu bersopan santun, kamu dapat memperbaik tiga aspek kehidupan kamu:
Reputasi kamu. Cara kamu melayan orang lain akan meninggalkan kesan yang baik atau kesan yang buruk. Jika kamu bersopan santun, orang akan memandangkan kamu sebagai orang yang matang dan bertanggungjawab, dan mereka akan lebih menghormati kamu. Tetapi jika kamu biadab, kamu akan dipandang sebagai orang yang mementingkan diri. Akibatnya, kamu mungkin akan kehilangan peluang pekerjaan atau peluang-peluang lain. Seperti yang dinyatakan dalam Bible, “orang yang zalim memalukan diri sendiri.”—Amsal 11:17; nota kaki.
Hubungan kamu dengan orang lain. Bible menyatakan, “Hendaklah kamu mengenakan kasih, kerana kasih ialah ikatan yang menyatupadukan orang dengan sempurna.” (Kolose 3:14) Nasihat ini amat praktikal untuk membantu kamu membina persahabatan. Kita selalunya suka bergaul dengan orang yang sopan dan melayan kita dengan baik. Ya, siapakah yang suka berkawan dengan orang yang biadab atau menjengkelkan?
Cara orang lain melayan kamu. Seorang gadis yang bernama Jennifer berkata, “Jika kamu selalu sopan, lama-kelamaan, orang yang biadab pun akan melayan kamu dengan lebih baik.” Tetapi jika kamu biadab, orang lain juga akan memperlakukan kamu dalam cara yang sama. Bible menyatakan, “Sukatan yang kamu gunakan untuk orang, juga akan digunakan untuk kamu.”—Matius 7:2.
Kesimpulan: Kita perlu bergaul dengan orang lain setiap hari. Cara kamu melayan mereka akan mempengaruhi cara mereka memandang dan melayan kamu. Ya, amat penting untuk bersikap sopan!
Cara memperbaik sikap kamu
Buat penilaian peribadi. Tanyalah diri, “Adakah saya menyapa orang yang lebih tua dengan sopan? Adakah saya selalu mengucapkan ‘terima kasih,’ ‘tolong,’ dan ‘maaf’? Adakah saya sibuk membaca dan membalas SMS semasa saya sedang bercakap dengan orang lain? Adakah saya melayan ibu bapa dan adik-beradik saya dengan sopan, atau adakah saya bertindak sesuka hati kerana berfikir bahawa mereka itu keluarga saya?”
Bible menyatakan, “Hendaklah kamu saling mendahului untuk memberikan hormat.”—Roma 12:10.
Tetapkan matlamat. Tuliskan tiga hal yang dapat kamu lakukan untuk memperbaik sikap kamu. Contohnya, Allison, yang berumur 15 tahun, berkata bahawa dia perlu “menjadi pendengar yang baik, dan bukannya asyik bercakap.” David, yang berumur 19 tahun, berkata bahawa dia perlu berusaha agar tidak menghantar SMS ketika dia sedang bercakap dengan keluarga atau sahabatnya kerana perbuatan sedemikian tidak sopan, dan menunjukkan bahawa dia tidak sudi bercakap dengan mereka. Edward, yang berumur 17 tahun, berkata bahawa dia bertekad untuk tidak mencelah apabila orang lain sedang bercakap. Jennifer, yang disebutkan sebelum ini, bertekad untuk memperbaik cara dia melayan orang yang tua. Dia berkata, “Dulu, saya selalu berkata ‘helo’ kepada mereka dan kemudian cepat-cepat cari alasan untuk pergi berbual dengan kawan-kawan saya yang sebaya. Tetapi sekarang saya berusaha untuk mengenali mereka. Hal ini membantu saya untuk menjadi lebih sopan!”
Bible menyatakan, “Jagalah kepentingan orang lain, dan bukan hanya kepentingan diri kamu sendiri.”—Filipi 2:4.
Periksa kemajuan sendiri. Gunakan masa satu bulan untuk memerhatikan kemajuan kamu. Selepas satu bulan berlalu, tanyalah diri, “Adakah saya menjadi orang yang lebih baik? Apakah aspek-aspek lain yang dapat saya tingkatkan?” Kemudian tetapkanlah matlamat baharu.
Bible menyatakan, “Apa yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, mesti kamu lakukan juga untuk mereka.”—Lukas 6:31.