Lompat ke kandungan

SIAPAKAH PEREKANYA?

Susu Ibu

Susu Ibu

 Sebuah buku rujukan bagi bidan menyatakan bahawa “susu formula untuk bayi tidak akan sama dengan susu ibu.” Salah satu sebab susu ibu sangat sesuai bagi bayi ialah badan ibu dapat mengubah susunya untuk memenuhi keperluan bayi.

 Fikirkan: Setiap kali seorang ibu menyusui bayinya, kandungan susunya akan berubah. Susu yang dihasilkan pada awal setiap sesi penyusuan kaya dengan protein, vitamin, mineral, dan air. Susu yang dihasilkan pada akhir sesi penyusuan pula lebih pekat dan tinggi kandungan lemaknya agar memberikan rasa kenyang kepada bayi. Komposisi susu ibu juga akan berubah mengikut umur bayi dan musim.

 Tambahan lagi, kadar hormon dalam susu ibu juga berbeza mengikut waktu. Contohnya, hormon melatonin akan lebih tinggi pada waktu malam, dan hormon lain pula lebih tinggi pada waktu siang. Sesetengah hormon membuat badan menjadi lebih cergas, manakala yang lain seperti melatonin akan menggalakkan proses tidur. Ini bantu menetapkan waktu bayi tidur dan bangun.

 Dalam beberapa hari selepas anak dilahirkan, susu yang dihasilkan kelihatan kuning dan dipanggil kolostrum. Kolostrum mudah dicerna dan penuh dengan nutrien. Memandangkan perut bayi masih kecil pada masa itu, sedikit kolostrum sudah cukup dan dapat memberi bayi banyak kebaikan. Misalnya, kolostrum tinggi dengan antibodi untuk mencegah pelbagai jangkitan dan mempunyai kesan laksatif untuk membantu dalam pembuangan najis. Ini penting untuk membersihkan sistem pencernaan bayi yang baru lahir.

 Para ibu mungkin bimbang mengenai jumlah susu badan yang dapat dihasilkannya. Sebenarnya, badan ibu akan selalu menghasilkan susu yang mencukupi untuk anaknya, bahkan bagi ibu yang mempunyai anak kembar.

 Apakah pandangan anda? Adakah susu ibu dan ciri-cirinya yang unik wujud secara evolusi, atau wujud kerana adanya Pencipta?