Lompat ke kandungan

Adakah Neraka Wujud? Apakah Itu Neraka Menurut Bible?

Adakah Neraka Wujud? Apakah Itu Neraka Menurut Bible?

Jawapan Bible

 Sesetengah terjemahan Bible, seperti Alkitab Versi Borneo, menggunakan perkataan “neraka” dalam beberapa ayat. (Mazmur 55:15; Matius 5:30) Seperti gambar yang ditunjukkan dalam rencana ini, ramai orang percaya bahawa neraka ialah sebuah tempat berapi yang kekal di mana orang jahat dihukum. Namun, adakah itu yang diajarkan Bible?

Dalam rencana ini

 Adakah neraka sebuah tempat seksaan yang kekal?

 Tidak. Kata-kata asal yang diterjemahkan sebagai “neraka” dalam sesetengah terjemahan Bible lama ialah “Sheol” (bahasa Ibrani) dan “Hades” (bahasa Yunani). Kedua-dua perkataan ini merujuk kepada “Kuburan,” iaitu perkuburan umum umat manusia. Bible menunjukkan bahawa orang yang berada di “Kuburan” tidak hidup atau wujud lagi.

  •   Orang mati tidak sedar akan apa-apa, jadi mereka tidak rasa sakit. “Tidak ada pekerjaan, pertimbangan, kebijaksanaan, atau pengetahuan, di neraka.” (Pengkhutbah 9:10, Douay-Rheims Version) Tiada bunyi jeritan atau kesakitan di neraka. Sebaliknya, Bible berkata, “Biarlah orang jahat dimalukan, dan biarlah mereka membisu di kuburan [neraka, Douay-Rheims].”—Mazmur 31:17; King James Version (30:18, Douay-Rheims); Mazmur 115:17.

  •   Tuhan telah menetapkan kematian, bukannya seksaan di api neraka, sebagai hukuman dosa. Tuhan telah memberitahu manusia pertama, iaitu Adam, bahawa hukuman bagi orang yang melanggar perintah Tuhan ialah kematian. (Kejadian 2:17) Tuhan tidak menyebut tentang seksaan kekal di neraka. Kemudian, setelah Adam berdosa, Tuhan memberitahunya hukuman ini: “Engkau ini tanah, dan engkau akan kembali ke tanah.” (Kejadian 3:19) Maksudnya, Adam tidak akan wujud lagi. Jika Tuhan benar-benar ingin menghukum Adam di api neraka, sudah pasti Dia akan menyebut tentangnya. Tuhan tidak mengubah hukuman-Nya bagi orang yang melanggar perintah-Nya. Lama selepas Adam berdosa, Tuhan telah mengilhami seorang penulis Bible untuk menyatakan, “Upah dosa ialah kematian.” (Roma 6:23) Hukuman selanjutnya tidak diperlukan, kerana “apabila seseorang mati, hutang dosanya sudah dilangsaikan.”—Roma 6:7.

  •   Seksaan kekal merupakan hal yang menjijikkan bagi Tuhan. (Yeremia 32:35) Perbuatan menyeksa orang bertentangan dengan ajaran Bible bahawa “Tuhan itu kasih.” (1 Yohanes 4:8) Dia mahu kita menyembah-Nya kerana kita mengasihi Dia, bukannya kerana kita takut akan seksaan kekal.—Matius 22:36-38.

  •   Orang baik pergi ke neraka. Terjemahan Bible yang menggunakan perkataan “neraka” menunjukkan bahawa lelaki setia, seperti Yakub dan Ayub, sedar bahawa mereka akan pergi ke neraka. (Kejadian 37:35; Ayub 14:13) Bahkan Yesus juga dikatakan berada di neraka selepas dia mati sehingga dia dibangkitkan. (Kisah 2:31, 32) Maka, jelaslah bahawa penggunaan perkataan “neraka” dalam terjemahan Bible tersebut merujuk kepada Kuburan. a

 Apakah maksud cerita ibarat Yesus tentang lelaki kaya dan Lazarus?

 Cerita ibarat ini diceritakan oleh Yesus dan tercatat di Lukas 16:19-31. Cerita ibarat ialah perumpamaan yang mengajar kita kebenaran rohani dan moral. Cerita ibarat tentang lelaki kaya dan Lazarus bukanlah sebuah kisah benar. (Matius 13:34) Untuk ketahui lebih lanjut tentang cerita ibarat ini, lihatlah rencana “Siapakah Lelaki Kaya dan Lazarus?

 Adakah neraka bererti orang mati sedar bahawa dia tiada lagi hubungan dengan Tuhan?

 Tidak. Ajaran bahawa orang mati sedar bahawa dia tidak lagi mempunyai hubungan dengan Tuhan adalah bercanggahan dengan Bible. Bible dengan jelas mengajarkan bahawa orang mati tidak sedar akan apa-apa pun.—Mazmur 146:3, 4; Pengkhutbah 9:5.

 Pernahkah sesiapa dibebaskan dari neraka?

 Ya, pernah. Bible mengandungi kisah terperinci tentang sembilan orang yang pernah berada di Kuburan (diterjemahkan sebagai “neraka” dalam sesetengah Bible) lalu dibangkitkan dan hidup semula. b Jika mereka sedar ketika berada di neraka, sudah pasti mereka dapat menceritakan pengalaman mereka di sana. Namun, tiada seorang pun antara mereka yang menyatakan bahawa mereka diseksa atau mengalami apa-apa pun di sana. Mengapa? Kerana mereka berada dalam keadaan yang tidak sedar, bagaikan “tidur” nyenyak, seperti yang diajarkan Bible secara konsisten.—Yohanes 11:11-14; 1 Korintus 15:3-6.