Siapakah Yehuwa?
Jawapan Bible
Yehuwa ialah Tuhan yang benar yang disebut dalam Bible. Dia menciptakan segala sesuatu. (Wahyu 4:11) Nabi Abraham dan Musa, serta Yesus menyembah-Nya. (Kejadian 24:27; Keluaran 15:1, 2; Yohanes 20:17) Yehuwa merupakan Tuhan “seluruh dunia.”—Mazmur 47:3.
Yehuwa atau Yehowa ialah nama Tuhan yang terkandung dalam Bible. (Kejadian 2:4, nota kaki; Keluaran 3:14, nota kaki) Nama Yehuwa berasal daripada kata kerja Ibrani yang bermaksud “menjadi,” dan beberapa cendekiawan berpendapat bahawa nama itu bermaksud “Dia Menyebabkan Menjadi.” Hal ini sesuai dengan peranan yang dimainkan oleh Yehuwa sebagai Pencipta dan Pelaksana tujuan-Nya. (Yesaya 55:10, 11) Bible juga membantu kita lebih mengenali Yehuwa serta sifat utama-Nya iaitu kasih.—Keluaran 34:5-7; Lukas 6:35; 1 Yohanes 4:8.
Nama Yehuwa dalam bahasa Ibrani terdiri daripada empat huruf יהוה (YHWH), yang dikenali sebagai Tetragrammaton. Sebutan sebenar bagi nama Ibrani kuno ini tidak diketahui. Namun, dalam bahasa Melayu, nama Yehuwa dan ejaan yang serupa sudah pun digunakan sejak dahulu. a
Mengapakah sebutan nama Tuhan dalam bahasa Ibrani kuno tidak diketahui?
Bahasa Ibrani kuno ditulis menggunakan huruf konsonan sahaja, tanpa menggunakan huruf vokal. Para pembaca bahasa Ibrani dapat memasukkan huruf vokal yang sesuai dengan mudah. Selepas Kitab Ibrani (“Perjanjian Lama”) disiapkan, sesetengah orang Yahudi mula mempunyai kepercayaan karut bahawa adalah salah jika menyebut nama Tuhan. Semasa membacakan ayat yang mengandungi nama Tuhan, mereka menggantikannya dengan gelaran “Tuan” atau “Tuhan.” Seraya masa berlalu, kepercayaan karut ini tersebar luas lalu sebutan kuno bagi nama Tuhan pun akhirnya hilang. b
Ada yang berpendapat bahawa sebutan nama Tuhan ialah “Yahweh,” tetapi ada pula mencadangkan sebutan lain. Gulungan Laut Mati yang mengandungi sebahagian daripada buku Imamat dalam bahasa Yunani mentransliterasikan (menterjemahkan mengikut sebutan asal) nama Tuhan sebagai Iao. Selain itu, penulis Yunani masa awal juga mencadangkan sebutan Iae, I·a·beʹ, dan I·a·ou·eʹ. Namun begitu, tiada bukti yang menunjukkan bahawa sebutan-sebutan ini digunakan dalam bahasa Ibrani kuno.
Tanggapan salah tentang nama Tuhan dalam Bible
Tanggapan yang salah: Sesetengah penterjemah memasukkan nama “Yehuwa” dalam terjemahan Bible mereka.
Kebenaran: Nama Tuhan dalam bentuk Tetragrammaton muncul sebanyak kira-kira 7,000 kali dalam Bible. c Kebanyakan terjemahan Bible sengaja mengeluarkan nama Tuhan dan menggantikannya dengan gelaran seperti “Tuan.”
Tanggapan yang salah: Tuhan Yang Maha Kuasa tidak memerlukan nama yang khas.
Kebenaran: Tuhan sendiri mengilhami penulis Bible untuk menggunakan nama-Nya beribu kali, dan Dia mengarahkan para penyembah-Nya untuk menggunakan nama-Nya. (Yesaya 42:8; Yoel 2:32; Maleakhi 3:16; Roma 10:13) Tuhan mengutuk nabi palsu yang cuba membuat orang melupakan nama-Nya.—Yeremia 23:27.
Tanggapan yang salah: Menurut tradisi orang Yahudi, nama Tuhan mesti disingkirkan daripada Bible.
Kebenaran: Memang benar bahawa sesetengah jurutulis Yahudi enggan menyebut nama Tuhan. Namun, mereka tidak mengeluarkan nama itu daripada salinan Bible mereka. Tidak kira apa pun sebabnya, Tuhan tidak ingin kita mengikut tradisi manusia yang tidak selaras dengan perintah-Nya.—Matius 15:1-3.
Tanggapan yang salah: Nama Tuhan tidak patut digunakan dalam Bible kerana sebutan asal dalam bahasa Ibrani tidak diketahui.
Kebenaran: Orang yang mempunyai tanggapan sebegini percaya bahawa Tuhan menghendaki orang yang bertutur dalam pelbagai bahasa untuk menggunakan nama-Nya dengan sebutan yang seragam. Namun, Bible menunjukkan bahawa para penyembah Tuhan telah menggunakan sebutan yang berbeza bagi nama orang mengikut bahasa yang dituturkan.
Misalnya, fikirkan nama Hakim Yosua. Orang Kristian pada abad pertama yang bertutur bahasa Ibrani menyebut namanya sebagai Yehoh·shuʹaʽ, tetapi mereka yang bertutur bahasa Yunani memanggilnya I·e·sousʹ. Dalam Bible, nama Yosua yang merupakan nama Ibrani telah diterjemahkan ke dalam bahasa Yunani. Maka, orang Kristian pada zaman itu membuat keputusan yang wajar. Mereka menggunakan sebutan yang biasa digunakan dalam bahasa mereka.—Kisah 7:45; Ibrani 4:8.
Prinsip terjemahan sebegini juga boleh digunakan untuk nama Tuhan. Yang paling penting bukanlah cara menyebut nama Tuhan, tetapi bahawa nama itu harus terpelihara dalam Bible.
a Contohnya, Alkitab Terjemahan Lama (1958) yang merupakan gabungan Perjanjian Lama Klinkert (1870) dan Perjanjian Baru Bode (1938) menggunakan nama “Yehuwa” di Keluaran 15:3 yang berbunyi, “Bahwa Tuhanlah panglima perang, Yehuwa itulah namanya!” Selain itu, Alkitab Berita Baik (2001, Edisi Kedua) menggunakan “Yehowa” di nota kaki Kejadian 2:4. Tambahan pula, Alkitab Versi Borneo (2015) menggunakan “Yehovah” di Mukadimah Terjemahan (muka surat V). Nama “Yehova” juga disebut dalam beberapa lagu rohani gereja. Jelaslah, nama Tuhan dalam bentuk “Yehuwa” dan ejaan yang serupa sudah lama digunakan.
b Buku New Catholic Encyclopedia, Edisi Kedua, Jilid 14, muka 883-884, menyatakan: “Selepas orang Israel dibebaskan daripada tawanan di Babilon, nama Yahweh dianggap terlalu suci, dan nama Tuhan mula digantikan dengan perkataan ADONAI atau ELOHIM.”
c Lihat Theological Lexicon of the Old Testament, Jilid 2, muka 523-524.