Apakah yang Boleh Kita Belajar daripada Kisah Para Wanita dalam Bible?
Jawapan Bible
Kisah para wanita yang tercatat dalam Bible memberi kita pengajaran yang penting. (Roma 15:4; 2 Timotius 3:16, 17) Artikel ini akan menggambarkan secara ringkas kisah hidup sesetengah wanita yang tercatat dalam Bible. Ramai antara mereka merupakan teladan yang baik untuk dicontohi. Namun ada juga beberapa kisah wanita yang menjadi amaran bagi kita.—1 Korintus 10:11; Ibrani 6:12.
Abigail
Siapakah Abigail? Dia ialah isteri Nabal, seorang lelaki yang kaya tetapi berkelakuan kasar. Sebaliknya, Abigail seorang wanita yang bijak dan rendah hati. Dia juga cantik dan mempunyai sifat-sifat rohani.—1 Samuel 25:3.
Apakah yang dia lakukan? Abigail telah bertindak dengan bijak untuk mengelak malapetaka. Pada masa itu, Daud yang bakal menjadi raja Israel sedang bersembunyi sebagai pelarian berhampiran tempat tinggal Nabal dan Abigail. Daud dan anak buahnya telah melindungi kawanan biri-biri Nabal daripada perompak. Tetapi apabila Daud mengutus orang untuk meminta sedikit makanan daripada Nabal, Nabal menolaknya dengan kasar. Daud begitu marah! Jadi Daud dan anak buahnya berangkat untuk membunuh Nabal dan semua lelaki dalam rumah tangganya.—1 Samuel 25:10-12, 22.
Abigail bertindak dengan serta-merta setelah mendengar tentang hal yang dilakukan oleh suaminya. Dia menyediakan bekalan makanan lalu menyuruh hamba-hambanya untuk membawa bekalan tersebut kepada Daud dan anak buahnya. Abigail sendiri juga ikut untuk memohon belas kasihan Daud. (1 Samuel 25:14-19, 24-31) Apabila Daud melihat pemberian Abigail dan kerendahan hatinya, serta mendengar nasihatnya yang bijak, Daud sedar bahawa Tuhan telah menggunakan Abigail untuk mencegahnya daripada menanggung hutang darah. (1 Samuel 25:32, 33) Tidak lama kemudian, Nabal meninggal dan Abigail menjadi isteri Daud.—1 Samuel 25:37-41.
Apakah yang kita belajar daripada Abigail? Walaupun dia seorang yang cantik dan kaya, Abigail tidak sombong. Dia sanggup meminta maaf atas kesalahan yang dia tidak lakukan demi mengekalkan kedamaian. Dia menangani situasi yang tegang itu dengan tenang, bijak, berani, dan cerdik.
▸ Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kisah Abigail, lihat artikel “Dia Bertindak dengan Bijak.”
Debora
Siapakah Debora? Dia ialah seorang nabi wanita yang digunakan oleh Tuhan orang Israel, iaitu Yehuwa, untuk memberitahu mereka tentang kehendak-Nya. Tuhan juga menggunakannya untuk menyelesaikan masalah antara orang Israel.—Hakim-Hakim 4:4, 5.
Apakah yang dia lakukan? Debora menyokong penyembah Tuhan dengan berani. Atas perintah Tuhan, Debora memanggil Barak untuk memimpin askar Israel untuk berperang dengan orang Kanaan yang menindas mereka. (Hakim-Hakim 4:6, 7) Apabila Barak meminta Debora untuk pergi bersamanya, Debora tidak takut untuk menurut permintaannya.—Hakim-Hakim 4:8, 9.
Setelah Tuhan memberi kemenangan muktamad kepada orang Israel, Debora dan Barak menyanyikan lagu yang sebahagiannya digubah oleh Debora sendiri. Dalam lagu itu, Debora juga menyebut tentang Yael, yang merupakan seorang lagi wanita yang berani, dan peranannya dalam mengalahkan orang Kanaan.—Hakim-Hakim, bab 5.
Apakah yang kita belajar daripada Debora? Debora seorang yang berani dan rela berkorban. Dia menggalakkan orang lain untuk melakukan apa yang benar di mata Tuhan. Apabila mereka berbuat demikian, dia tidak segan untuk memuji mereka.
▸ Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kisah Debora, lihat artikel “Aku Bangkit Sebagai Ibu di Israel” dalam Bahasa Indonesia.
Delila
Siapakah Delila? Dia ialah seorang wanita yang dicintai oleh Simson, seorang hakim Israel.—Hakim-Hakim 16:4, 5.
Apakah yang dia lakukan? Dia menerima wang daripada pegawai Filistin untuk mengkhianati Simson, yang digunakan oleh Tuhan untuk menyelamatkan orang Israel daripada orang Filistin. Orang Filistin tidak dapat mengalahkan Simson kerana kekuatannya yang luar biasa. (Hakim-Hakim 13:5) Jadi mereka meminta bantuan daripada Delila.
Orang Filistin memberi rasuah kepada Delila untuk mencari punca kekuatan Simson yang luar biasa itu. Delila menerima wang itu, dan akhirnya berjaya mengetahui rahsia Simson setelah mencuba beberapa kali. (Hakim-Hakim 16:15-17) Setelah itu, dia memberitahu orang Filistin tentang rahsia Simson itu, lalu mereka menangkap dan memenjarakan Simson.—Hakim-Hakim 16:18-21.
Apakah yang kita belajar daripada Delila? Kisah Delila menjadi amaran bagi kita. Oleh kerana sifat tamaknya, dia sanggup menipu dan mengkhianati seorang hamba Tuhan Yehuwa.
Ester
Siapakah Ester? Dia ialah seorang wanita Yahudi yang dijadikan ratu oleh Raja Ahasweros dari Persia.
Apakah yang dia lakukan? Ratu Ester menggunakan kedudukannya untuk menghalang pembasmian bangsanya. Dia mendapat tahu tentang sebuah perintah rasmi yang menyatakan bahawa semua orang Yahudi di Kerajaan Persia akan dibunuh pada satu hari yang ditetapkan. Rancangan jahat ini merupakan muslihat perdana menteri yang bernama Haman. (Ester 3:13-15; 4:1, 5) Dengan bantuan abang sepupunya yang bernama Mordekhai, Ester mengambil tindakan untuk memberitahu suaminya, Raja Ahasweros, tentang muslihat ini biarpun nyawanya mungkin terancam. (Ester 4:10-16; 7:1-10) Kemudian, Ahasweros membenarkan Ester dan Mordekhai untuk mengeluarkan satu lagi perintah yang mengizinkan orang Yahudi untuk membela diri. Akhirnya orang Yahudi dapat mengalahkan musuh mereka dengan sepenuhnya.—Ester 8:5-11; 9:16, 17.
Apakah yang kita belajar daripada Ester? Ratu Ester merupakan teladan yang sangat baik dalam sifat keberanian dan kerendahan hati. (Mazmur 31:24; Filipi 2:3) Meskipun dia cantik dan berkedudukan tinggi, dia rela meminta nasihat dan bantuan orang lain. Ester bukan sahaja bijak menggunakan kata-kata yang sesuai dan bersikap penuh hormat semasa bercakap dengan suaminya, tetapi dia juga berani. Walaupun nyawa semua orang Yahudi terancam pada masa itu, Ester tidak takut untuk mengakui dirinya sebagai orang Yahudi.
▸ Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kisah Ester, lihat artikel “Dia Membela Umat Tuhan” dan “Dia Bertindak dengan Bijak dan Berani.”
Gadis Sulam
Siapakah gadis Sulam? Dia ialah seorang gadis kampung yang cantik dan merupakan watak utama dalam buku Bible yang bernama Kidung Agung. Bible tidak memberitahu kita nama gadis tersebut.
Apakah yang dia lakukan? Gadis Sulam tetap setia kepada pemuda gembala yang dicintainya. (Kidung Agung 2:16) Dia begitu cantik sehingga Raja Salomo yang kaya pun tertarik kepadanya, dan berusaha untuk menawan hatinya. (Kidung Agung 7:6) Walaupun orang lain mendesaknya untuk memilih Salomo, gadis Sulam tetap menolak. Dia mencintai pemuda gembala dan setia kepadanya.—Kidung Agung 3:5; 7:10; 8:6.
Apakah yang kita belajar daripada gadis Sulam? Meskipun dia cantik dan mendapat banyak perhatian, dia tetap rendah hati. Dia tidak membiarkan pujukan rakan sebaya atau godaan kekayaan dan kemasyhuran untuk memudarkan kasihnya terhadap pemuda gembala itu. Dia pandai mengawal diri dan tetap bersih secara moral.
Hana
Siapakah Hana? Dia ialah isteri Elkana dan ibu kepada Samuel. Samuel ialah seorang nabi yang terkenal di Israel kuno.—1 Samuel 1:1, 2, 4-7.
Apakah yang dia lakukan? Semasa Hana mandul, dia berpaling kepada Tuhan untuk memohon kelegaan daripada-Nya. Suami Hana mempunyai dua orang isteri. Salah seorang isterinya yang bernama Penina mempunyai anak, tetapi Hana masih mandul walaupun sudah lama berkahwin. Penina mencemuh Hana, tetapi Hana berdoa kepada Tuhan supaya diberikan kelegaan. Hana berikrar kepada Tuhan bahawa jika dia dikurniakan seorang anak lelaki, dia akan menyerahkan anak itu kepada Tuhan untuk berkhidmat di khemah suci, iaitu sebuah khemah mudah alih yang digunakan oleh orang Israel sebagai tempat untuk beribadat.—1 Samuel 1:11.
Tuhan menjawab doa Hana, dan dia melahirkan Samuel. Hana menepati janjinya dan membawa Samuel ke khemah suci untuk berkhidmat di sana semasa dia masih seorang budak kecil. (1 Samuel 1:27, 28) Setiap tahun, Hana akan membuat sehelai jubah kecil yang tidak berlengan untuk Samuel dan membawa jubah itu kepadanya. Seraya masa berlalu, Tuhan memberkati Hana dengan menambahkan tiga orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan kepadanya.—1 Samuel 2:18-21.
Apakah yang kita belajar daripada Hana? Doa Hana yang bersungguh-sungguh telah membantunya untuk bertabah semasa menghadapi cubaan. Doa kesyukurannya yang tercatat di 1 Samuel 2:1-10 menunjukkan imannya yang kuat terhadap Tuhan.
▸ Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kisah Hana, lihat artikel “Dia Mencurahkan Isi Hatinya kepada Tuhan.”
▸ Untuk mengetahui mengapa Tuhan membenarkan amalan poligami di kalangan umat-Nya pada zaman kuno, lihat artikel ‘Apakah Tuhan Menyetujui Poligami?’ dalam Bahasa Indonesia.
Hawa
Siapakah Hawa? Dia ialah wanita yang pertama diciptakan dan wanita pertama yang disebutkan dalam Bible.
Apakah yang dia lakukan? Hawa melanggar perintah Tuhan yang jelas. Seperti suaminya Adam, Hawa dicipta sebagai manusia yang sempurna. Dia diberikan kebebasan untuk memilih dan kemampuan untuk meniru sifat-sifat Tuhan, seperti kasih dan kebijaksanaan. (Kejadian 1:27) Tuhan telah memberitahu Adam bahawa mereka akan mati jika memakan buah daripada sebuah pokok tertentu, dan Hawa tahu tentang hal ini. Namun, Syaitan menipu Hawa dengan berkata bahawa dia tidak akan mati, bahkan kehidupannya akan menjadi lebih baik jika dia tidak mentaati Tuhan. Hawa percaya tipu muslihat Syaitan, lalu memakan buah itu dan memujuk suaminya untuk turut memakan buah tersebut.—Kejadian 3:1-6; 1 Timotius 2:14.
Apakah yang kita belajar daripada Hawa? Kisah Hawa menjadi amaran bagi kita tentang bahayanya terus memikirkan keinginan yang salah. Keinginan Hawa untuk mendapatkan hak milik orang lain menjadi begitu kuat sehingga dia mengabaikan perintah Tuhan yang jelas sekali.—Kejadian 3:6; 1 Yohanes 2:16.
Isteri Lot
Siapakah isteri Lot? Namanya tidak disebut dalam Bible. Tetapi Bible memberitahu kita bahawa dia mempunyai dua orang anak perempuan dan dia tinggal di kota Sodom bersama keluarganya.—Kejadian 19:1, 15.
Apakah yang dia lakukan? Dia melanggar perintah Tuhan. Tuhan telah bertekad untuk memusnahkan Sodom dan kota-kota di sekelilingnya kerana penduduk di sana selalu mengamalkan perbuatan seks yang tidak bermoral dan menjijikkan. Lot ialah seorang yang baik, dan Tuhan mengasihinya dan keluarganya. Jadi, Tuhan mengutus dua malaikat untuk membawa mereka ke tempat yang selamat.—Kejadian 18:20; 19:1, 12, 13.
Para malaikat menyuruh keluarga Lot untuk melarikan diri dari kawasan itu dan jangan menoleh ke belakang agar mereka tidak mati. (Kejadian 19:17) Isteri Lot “menoleh ke belakang lalu menjadi tiang garam.”—Kejadian 19:26.
Apakah yang kita belajar daripada isteri Lot? Kisahnya menunjukkan betapa bahayanya jika kita mencintai harta benda sehingga melanggar perintah Tuhan. Yesus menyebut tentang isteri Lot sebagai amaran bagi kita. Dia berkata, “Ingatlah akan isteri Lot.”—Lukas 17:32.
Izebel
Siapakah Izebel? Dia ialah isteri Raja Ahab yang memerintah di Israel. Izebel bukan orang Israel dan dia tidak menyembah Yehuwa. Sebaliknya, dia menyembah Baal, iaitu dewa orang Kanaan.
Apakah yang dia lakukan? Ratu Izebel ialah seorang pembuli yang kejam dan ganas. Dia menggalakkan penyembahan Baal, dan juga perbuatan seks yang tidak bermoral yang berkaitan dengan ibadat palsu itu. Pada masa yang sama, dia berusaha untuk melenyapkan semua penyembah Tuhan Yehuwa.—1 Raja-Raja 18:4, 13; 19:1-3.
Izebel sanggup berdusta dan membunuh orang untuk mendapatkan apa yang diingininya. (1 Raja-Raja 21:8-16) Seperti yang difirman oleh Tuhan, Izebel mati dalam keadaan yang dahsyat dan tidak dikebumikan.—1 Raja-Raja 21:23; 2 Raja-Raja 9:10, 32-37.
Apakah yang kita belajar daripada Izebel? Kisah Izebel menjadi amaran bagi kita. Kehidupannya yang tidak berakhlak dan tidak berprinsip telah menjadikan namanya sebagai simbol bagi wanita yang tidak tahu malu, tidak bermoral, dan tidak mempunyai kawalan diri.
Lea
Siapakah Lea? Dia ialah isteri pertama Yakub. Adik perempuannya, Rahel, merupakan isteri kedua Yakub.—Kejadian 29:20-29.
Apakah yang dia lakukan? Lea ialah ibu kepada enam anak lelaki Yakub. (Rut 4:11) Sebenarnya Yakub ingin mengahwini Rahel dan bukannya Lea. Tetapi bapa kepada dua orang gadis itu, iaitu Laban, telah mengahwinkan Lea bagi menggantikan tempat Rahel. Yakub sedar bahawa dia telah ditipu, lalu menuntut jawapan daripada Laban. Laban menjelaskan bahawa menurut adat mereka, adik tidak boleh berkahwin sebelum kakaknya berkahwin. Seminggu kemudian, Yakub mengahwini Rahel.—Kejadian 29:26-28.
Yakub lebih mengasihi Rahel daripada Lea. (Kejadian 29:30) Oleh itu, Lea sangat cemburu dan selalu bersaing dengan adiknya untuk mendapatkan perhatian suami mereka, Yakub. Tuhan memperhatikan perasaan Lea dan memberkatinya dengan enam orang anak lelaki dan seorang anak perempuan.—Kejadian 29:31.
Apakah yang kita belajar daripada Lea? Lea begantung kepada Tuhan melalui doa dan tidak membiarkan masalah keluarga membutakannya daripada menyedari bahawa Tuhan telah membantunya. (Kejadian 29:32-35; 30:20) Walaupun Tuhan membenarkan amalan poligami pada masa itu, kisah hidup Lea membuktikan bahawa amalan poligami tidak membawa kebahagiaan dalam keluarga. Menurut standard Tuhan mengenai perkahwinan, seorang suami atau isteri hanya patut mempunyai seorang pasangan sahaja.—Matius 19:4-6.
▸ Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kisah Lea, lihat artikel “Kakak-Beradik yang Merana yang ‘Membangun Keturunan Israel’” dalam Bahasa Indonesia.
▸ Untuk mengetahui mengapa Tuhan membenarkan amalan poligami di kalangan umat-Nya pada zaman kuno, lihat artikel ‘Apakah Tuhan Menyetujui Poligami?’ dalam Bahasa Indonesia.
Maria (adik-beradik Marta dan Lazarus)
Siapakah Maria? Dia mempunyai seorang adik yang bernama Lazarus, dan kakaknya bernama Marta. Mereka bertiga merupakan sahabat karib Yesus.
Apakah yang dia lakukan? Maria selalu menunjukkan penghargaan terhadap Yesus sebagai Anak Tuhan. Dia percaya bahawa Yesus dapat menyelamatkan Lazarus daripada kematian, dan dia juga menyaksikan pembangkitan Lazarus yang dilakukan oleh Yesus. Kakaknya Marta mengkritik Maria apabila Maria memilih untuk mendengar kata-kata Yesus dan tidak membantu Marta mengurus kerja di rumah. Namun Yesus memuji Maria kerana dia mendahulukan hal rohani.—Lukas 10:38-42.
Pernah sekali, Maria menyambut Yesus dengan menuangkan “minyak wangi yang mahal” ke atas kepala dan kaki Yesus. (Matius 26:6, 7) Orang lain di sana menuduh Maria kerana membazir. Namun Yesus mempertahankan Maria lalu berkata, “Di mana sahaja berita baik [tentang Kerajaan Tuhan] disebarkan di seluruh dunia, perbuatan wanita ini juga akan diceritakan untuk mengenang dia.”—Matius 24:14; 26:8-13.
Apakah yang kita belajar daripada Maria? Maria memupuk iman yang mendalam. Dia lebih mementingkan ibadat kepada Tuhan berbanding dengan hal-hal duniawi. Dia juga memuliakan Yesus dengan rendah hati, dan rela menghabiskan banyak wang untuk berbuat demikian.
Maria (ibu Yesus)
Siapakah Maria? Dia ialah seorang wanita Yahudi muda yang menjadi hamil dengan anak Tuhan secara mukjizat, lalu melahirkan Yesus semasa dia masih seorang anak dara.
Apakah yang dia lakukan? Maria melakukan kehendak Tuhan dengan rendah hati. Dia telah bertunang dengan Yusuf semasa satu malaikat muncul kepadanya dan mengumumkan bahawa dia akan menjadi hamil dan akan melahirkan Mesias yang dijanjikan. (Lukas 1:26-33) Dengan rela dia menerima tugasan ini. Selepas Yesus dilahirkan, Maria dan Yusuf mempunyai empat orang anak lelaki dan sekurang-kurangnya dua orang anak perempuan. Jadi Maria bukan anak dara seumur hidupnya. (Matius 13:55, 56) Walaupun dia mendapat penghormatan yang istimewa, dia tidak meminta atau menerima sanjungan daripada orang lain, sama ada semasa Yesus menginjil di bumi ataupun semasa Maria menjadi seorang ahli sidang Kristian pada abad pertama.
Apakah yang kita belajar daripada Maria? Maria seorang wanita setia yang rela menerima tanggungjawab yang berat. Dia mempunyai banyak pengetahuan tentang Ayat-Ayat Suci. Menurut sebuah anggaran, dia telah merujuk kepada Ayat-Ayat Suci sebanyak 20 kali semasa dia menyebut kata-kata yang tercatat di Lukas 1:46-55.
▸ Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kisah Maria, lihat artikel “Hal-Hal yang Dapat Dipelajari dari Teladan Maria” dalam Bahasa Indonesia.
Maria Magdalena
Siapakah Maria Magdalena? Dia ialah seorang pengikut Yesus yang setia.
Apakah yang dia lakukan? Maria Magdalena merupakan salah seorang wanita yang menyertai perjalanan Yesus dan rasul-rasulnya. Dengan murah hati, dia menggunakan harta milik sendiri untuk menjaga keperluan mereka. (Lukas 8:1-3) Dia terus mengikuti Yesus sehingga akhir kerja penyebarannya, dan Maria tetap berada berdekatan Yesus semasa dia dibunuh. Maria diberi penghormatan sebagai salah seorang yang paling awal berjumpa dengan Yesus setelah dia dibangkitkan.—Yohanes 20:11-18.
Apakah yang kita belajar daripada Maria? Maria Magdalena menyokong kerja penyebaran Yesus dengan murah hati dan tetap setia kepadanya.
Marta
Siapakah Marta? Dia merupakan kakak kepada Lazarus dan Maria, dan mereka bertiga tinggal di Betania yang berhampiran Yerusalem.
Apakah yang dia lakukan? Marta ialah sahabat karib Yesus, dan Yesus “mengasihi Marta, Maria, dan Lazarus.” (Yohanes 11:5) Marta suka menyambut orang. Pernah sekali semasa Yesus melawat mereka, Maria memilih untuk mendengar kata-kata Yesus manakala Marta sibuk menguruskan banyak kerja di rumah. Marta mengadu kepada Yesus bahawa Maria membiarkannya menguruskan semua kerja seorang diri. Dengan lembut, Yesus membetulkan pandangan Marta.—Lukas 10:38-42.
Semasa Lazarus jatuh sakit, Marta dan Maria mengirim pesanan kepada Yesus kerana mereka yakin bahawa Yesus dapat menyembuhkan adik mereka. (Yohanes 11:3, 21) Namun Lazarus mati sebelum Yesus tiba. Perbualan antara Marta dan Yesus mencerminkan keyakinan Marta terhadap janji pembangkitan dalam Bible, dan juga kebolehan Yesus untuk membangkitkan adiknya.—Yohanes 11:20-27.
Apakah yang kita belajar daripada Marta? Marta rajin menyambut orang. Dia rela menerima teguran. Dia tidak malu untuk meluahkan perasaannya dan menyebut tentang kepercayaannya.
▸ Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kisah Marta, lihat artikel “Aku Percaya.”
Miryam
Siapakah Miryam? Dia ialah kakak kepada Musa dan Harun. Dia merupakan nabi wanita yang pertama dalam Bible.
Apakah yang dia lakukan? Sebagai seorang nabi wanita, dia bertanggungjawab untuk menyampaikan perintah Tuhan kepada orang lain. Dia mempunyai kedudukan yang menonjol di Israel dan menyanyikan lagu kemenangan bersama kaum lelaki setelah Tuhan menghapuskan tentera Mesir dalam Laut Merah.—Keluaran 15:1, 20, 21.
Beberapa waktu kemudian, Miryam dan Harun mengkritik Musa. Nampaknya mereka dipengaruhi oleh perasaan sombong dan dengki. Tuhan “mendengar kata-kata mereka” lalu menegur Miryam dan Harun dengan tegas. (Bilangan 12:1-9) Miryam diserang penyakit kusta sebagai hukuman daripada Tuhan kerana dia merupakan pencetus kritikan itu. Tuhan menyembuhkan Miryam setelah Musa merayu bagi pihaknya. Selepas dia diasingkan di luar perkhemahan Israel selama tujuh hari, Miryam dibawa masuk semula.—Bilangan 12:10-15.
Bible menunjukkan bahawa Miryam sudi menerima teguran tersebut. Berabad-abad kemudian, Tuhan menyebut tentang peranan istimewa yang dimiliki Miryam semasa Dia mengingatkan orang Israel, “Aku telah mengutus Musa, Harun, dan Miryam kepadamu.”—Mikha 6:4.
Apakah yang kita belajar daripada Miryam? Kisah Miryam menunjukkan bahawa Tuhan memperhatikan kata-kata penyembah-Nya terhadap satu sama lain, atau mengenai satu sama lain. Kita juga belajar bahawa untuk menyenangkan hati Tuhan, kita mesti menjauhi diri daripada sifat sombong dan dengki. Sifat-sifat sebegini mungkin akan menyebabkan kita merosakkan reputasi orang lain.
Rahab
Siapakah Rahab? Dia ialah seorang pelacur yang tinggal di Yerikho, sebuah kota orang Kanaan. Dia kemudian menjadi seorang penyembah Tuhan Yehuwa.
Apakah yang dia lakukan? Rahab menyembunyikan dua orang Israel yang sedang mengintip kawasan Kanaan. Rahab berbuat demikian kerana dia telah mendengar kisah tentang cara Tuhan orang Israel, yang bernama Yehuwa, menyelamatkan umat-Nya daripada Mesir dan juga daripada serangan orang Amori.
Setelah Rahab membantu dua orang pengintip itu, dia pun memohon agar dia dan keluarganya diselamatkan semasa orang Israel memusnahkan kota Yerikho. Mereka bersetuju, tetapi dengan syarat-syarat yang tertentu: Rahab perlu merahsiakan rancangan mereka, dia dan keluarganya perlu tetap berada di dalam rumah semasa orang Israel menyerang, dan dia harus mengikat tali merah pada tingkapnya sebagai tanda. Rahab menurut setiap perintah itu, lalu dia dan keluarganya terselamat semasa orang Israel menawan Yerikho.
Rahab kemudian berkahwin dengan seorang bangsa Israel dan menjadi nenek moyang kepada Raja Daud dan Yesus Kristus.—Yosua 2:1-24; 6:25; Matius 1:5, 6, 16.
Apakah yang kita belajar daripada Rahab? Bible menggambarkan Rahab sebagai teladan iman yang sungguh menakjubkan. (Ibrani 11:30, 31; Yakobus 2:25) Melalui kisahnya, kita dapat melihat sifat Tuhan yang rela mengampuni dan tidak berat sebelah. Tuhan akan memberkati sesiapa sahaja yang percaya kepada-Nya tanpa mengira latar belakang mereka.
▸ Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kisah Rahab, lihat artikel “Ia ‘Dinyatakan Adil-Benar Melalui Perbuatan’” dalam Bahasa Indonesia.
Rahel
Siapakah Rahel? Dia ialah salah seorang anak perempuan Laban dan isteri kesayangan Yakub.
Apakah yang dia lakukan? Rahel berkahwin dengan Yakub dan mempunyai dua orang anak lelaki dengannya. Dua orang anak itu tergolong di antara mereka yang mengasaskan 12 suku Israel kuno. Rahel bertemu dengan Yakub buat kali pertama semasa Rahel menjaga bebiri ayahnya. (Kejadian 29:9, 10) Rahel lebih menawan berbanding dengan kakaknya, Lea.—Kejadian 29:17.
Yakub jatuh cinta dengan Rahel, dan dia sudi bekerja selama tujuh tahun untuk Laban demi mengahwini Rahel. (Kejadian 29:18) Namun, Laban memperdayakan Yakub dengan mengahwinkan Lea kepadanya dan selepas itu barulah Yakub dibenarkan untuk mengahwini Rahel.—Kejadian 29:25-27.
Yakub lebih mengasihi Rahel dan dua orang anaknya berbanding Lea dan anak-anaknya. (Kejadian 37:3; 44:20, 27-29) Akibatnya, dua wanita itu pun saling bersaing dengan satu sama lain.—Kejadian 29:30; 30:1, 15.
Apakah yang kita belajar daripada Rahel? Walaupun Rahel perlu mengharungi masalah dalam keluarga, dia tidak putus harapan dan tetap yakin bahawa Tuhan mendengar doanya. (Kejadian 30:22-24) Kisahnya membuktikan bahawa amalan poligami membawa tekanan dalam keluarga. Pengalaman Rahel menunjukkan betapa bijaknya aturan Tuhan mengenai perkahwinan, iaitu seorang lelaki harus mempunyai seorang isteri sahaja.—Matius 19:4-6.
▸ Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kisah Rahel, lihat artikel “Kakak-Beradik yang Merana yang ‘Membangun Keturunan Israel’” dalam Bahasa Indonesia.
▸ Untuk mengetahui mengapa Tuhan membenarkan amalan poligami di kalangan umat-Nya pada zaman kuno, lihat artikel ‘Apakah Tuhan Menyetujui Poligami?’ dalam Bahasa Indonesia.
Ribka
Siapakah Ribka? Dia ialah isteri Ishak dan ibu kepada anak kembar lelaki yang bernama Yakub dan Esau.
Apakah yang dia lakukan? Ribka tetap melakukan kehendak Tuhan biarpun susah. Sewaktu dia sedang menimba air dari sebuah perigi, seorang lelaki telah meminta air daripadanya. Ribka segera memberinya air dan juga menawarkan diri untuk memberi air kepada unta-unta lelaki itu. (Kejadian 24:15-20) Lelaki itu merupakan hamba Abraham, dan dia telah mengembara jauh untuk mencarikan isteri bagi Ishak, iaitu anak Abraham. (Kejadian 24:2-4) Dia juga telah berdoa meminta berkat daripada Tuhan. Semasa dia melihat sifat kerajinan dan kemurahan hati Ribka, dia sedar bahawa Tuhan telah menjawab doanya dan wanita inilah pilihan Tuhan untuk Ishak.—Kejadian 24:10-14, 21, 27.
Setelah Ribka mengetahui tujuan kedatangan lelaki itu, dia pun bersetuju untuk pergi bersamanya dan menjadi isteri Ishak. (Kejadian 24:57-59) Kemudian, Ribka dikurniakan anak kembar lelaki. Tuhan telah memberitahunya bahawa anak sulungnya, Esau, akan melayani adiknya, Yakub. (Kejadian 25:23) Semasa Ishak berniat untuk memberi berkat kepada anak sulungnya Esau, Ribka mengambil langkah untuk memastikan berkat itu diberikan kepada Yakub, kerana dia tahu itulah kehendak Tuhan.—Kejadian 27:1-17.
Apakah yang kita belajar daripada Ribka? Ribka ialah seorang yang rendah hati, rajin, dan murah hati. Sifat-sifat ini telah menjadikannya seorang isteri dan ibu yang berjaya serta seorang penyembah Tuhan yang setia.
▸ Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kisah Ribka, lihat artikel “Aku Bersedia Pergi” dalam Bahasa Indonesia.
Rut
Siapakah Rut? Dia ialah seorang wanita yang berbangsa Moab. Dia meninggalkan kampung halaman dan tuhan-tuhannya, lalu menjadi penyembah Yehuwa di tanah Israel.
Apakah yang dia lakukan? Rut menunjukkan kasih yang luar biasa terhadap ibu mentuanya, Naomi. Naomi telah melarikan diri ke Moab bersama dengan suami dan dua orang anak lelaki mereka akibat kebuluran di Israel. Kemudiannya, anak-anak mereka masing-masing mengahwini wanita Moab yang bernama Rut dan Orpa. Seraya masa berlalu, suami Naomi dan anak-anak mereka pun meninggal, dan ketiga-tiga wanita itu menjadi balu.
Musim kemarau di Israel telah berakhir, Naomi pun membuat keputusan untuk kembali ke sana. Rut dan Orpa ingin mengikutinya. Tetapi Naomi menyuruh mereka untuk kembali kepada keluarga mereka, dan Orpa akhirnya meninggalkan Naomi. (Rut 1:1-6, 15) Rut bagaimanapun enggan meninggalkan ibu mentuanya. Dia mengasihi Naomi dan mahu menyembah Tuhan Naomi, iaitu Yehuwa.—Rut 1:16, 17; 2:11.
Semasa di Betlehem, iaitu kampung halaman Naomi, Rut mendapat nama yang baik kerana dia setia kepada ibu mentuanya dan rajin bekerja. Boaz, seorang tuan tanah yang kaya, sangat kagum dengan sifat-sifat Rut, dan menyediakan makanan bagi Rut dan Naomi dengan murah hati. (Rut 2:5-7, 20) Rut kemudian berkahwin dengan Boaz dan menjadi nenek moyang kepada Raja Daud dan Yesus Kristus.—Matius 1:5, 6, 16.
Apakah yang kita belajar daripada Rut? Rut rela meninggalkan tempat tinggal dan keluarganya kerana dia mengasihi Naomi dan Yehuwa. Dia bekerja keras dan tetap setia meskipun menghadapi banyak cabaran.
▸ Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kisah Rut, lihat artikel “Ke Mana Saja Mak Pergi, ke Sanalah Saya Hendak Pergi Juga” dan “Wanita yang Sangat Baik.”
Sara
Siapakah Sara? Dia ialah isteri Abraham dan ibu Ishak.
Apakah yang dia lakukan? Walaupun Sara hidup selesa di kota Ur yang makmur, dia rela meninggalkan tempat itu kerana dia beriman kepada janji Tuhan terhadap suaminya, Abraham. Tuhan telah menyuruh Abraham untuk berpindah daripada kota Ur ke negeri Kanaan. Tuhan berjanji akan memberkati Abraham dan menjadikan keturunannya sebuah bangsa yang besar. (Kejadian 12:1-5) Sara mungkin sudah berumur 60-an pada masa itu. Sejak itu, Sara dan suaminya hidup sebagai orang nomad yang tinggal di dalam khemah.
Walaupun Sara menghadapi bahaya kerana hidup sebagai orang nomad, dia tetap menyokong Abraham yang menuruti kehendak Tuhan. (Kejadian 12:10, 15) Walaupun Tuhan sudah berjanji memberkati keturunan Abraham, Sara tetap mandul selama bertahun-tahun, dan hal ini amat menyedihkannya. (Kejadian 12:7; 13:15; 15:18; 16:1, 2, 15) Pada kemudian hari, Tuhan berjanji bahawa Sara akan mengandung anak Abraham. Sara melahirkan seorang anak walaupun dia sudah terlalu tua untuk menjadi hamil. Pada masa itu Sara berumur 90 tahun, dan suaminya 100 tahun. (Kejadian 17:17; 21:2-5) Anak mereka diberi nama Ishak.
Apakah yang kita belajar daripada Sara? Teladan Sara mengajar kita bahawa janji Tuhan selalu dapat dipercayai biarpun janji itu nampaknya mustahil! (Ibrani 11:11) Teladannya sebagai seorang isteri juga menegaskan betapa pentingnya untuk menunjukkan hormat dalam perkahwinan.—1 Petrus 3:5, 6.
▸ Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kisah Sara, lihat artikel “Engkau Perempuan Cantik” dan “Tuhan Memanggilnya ‘Puteri.’”
Yael
Siapakah Yael? Dia ialah isteri Heber. Heber bukan orang Israel. Yael menyokong umat Tuhan dengan berani.
Apakah yang dia lakukan? Yael telah mengambil tindakan yang sepatutnya apabila Sisera datang ke khemahnya. Sisera ialah ketua angkatan orang Kanaan; mereka baru sahaja dikalahkan oleh orang Israel, jadi dia sedang mencari tempat untuk bersembunyi dan berehat. Yael menjemput Sisera masuk ke dalam khemahnya, dan membunuh Sisera semasa dia tertidur nyenyak.—Hakim-Hakim 4:17-21.
Perbuatan Yael telah menggenapi nubuat yang disebut oleh Debora, “Yehuwa akan menyerahkan Sisera ke dalam tangan seorang wanita.” (Hakim-Hakim 4:9) Atas tindakan Yael ini, dia dipuji sebagai wanita “yang paling diberkati.”—Hakim-Hakim 5:24.
Apakah yang kita belajar daripada Yael? Yael mengambil inisiatif dan bertindak dengan berani. Pengalamannya menunjukkan bahawa Tuhan dapat melakukan apa jua yang dikehendaki-Nya supaya nubuat digenapi.
Garis Masa Para Wanita dalam Bible
Air Bah (2370 SM)
Keluar dari Mesir (1513 SM)
Raja Israel yang pertama (1117 SM)
Yesus dibaptis (29 M)
Yesus mati (33 M)