Lompat ke kandungan

Beberapa saudara saudari yang pernah atau sedang dipenjarakan di Eritrea

25 OKTOBER 2024
ERITREA

Oktober 2024—Genap 30 Tahun Saksi-Saksi Yehuwa Dianiaya dengan Kejam di Eritrea

Oktober 2024—Genap 30 Tahun Saksi-Saksi Yehuwa Dianiaya dengan Kejam di Eritrea

Selama 30 tahun yang lalu, Saksi-Saksi Yehuwa di Eritrea telah mengalami penganiayaan yang teruk. Sejak 1994, lebih daripada 270 saudara saudari telah dipenjarakan dan diseksa kerana iman mereka. Kini, terdapat 64 saudara saudari yang dipenjarakan tanpa sebarang dakwaan atau sabitan.

Perintah presiden yang dikeluarkan pada 25 Oktober 1994 untuk membatalkan kewarganegaraan Saksi-Saksi Yehuwa di Eritrea

Pada 25 Oktober 1994, presiden Eritrea, Isaias Afwerki, memutuskan untuk membatalkan kewarganegaraan semua Saksi-Saksi Yehuwa yang lahir di Eritrea. Hal ini kerana saudara saudari kita enggan menyertai aktiviti politik atau khidmat tentera. Saksi-Saksi Yehuwa di Eritrea sebenarnya telah mengalami penganiayaan sebelum 1994. Tetapi perintah presiden ini telah melipatgandakan usaha pihak berkuasa untuk menganiaya saudara saudari kita. Akibatnya, ratusan Saksi ditangkap, dipenjarakan, dan diseksa sepanjang 30 tahun ini.

Apabila 32 orang Saksi dibebaskan dari penjara antara Disember 2020 dan Februari 2021, situasi di Eritrea nampaknya akan menjadi baik. Malangnya, hal ini tidak berlaku. Lebih daripada 20 Saksi masih dipenjarakan dan ramai lagi ditangkap. Pada September 2024, polis menyerbu sebuah rumah dan menangkap 25 orang yang berkumpul secara aman untuk bincang tentang Bible. Antara mereka yang ditangkap ialah tiga orang yang berumur lebih daripada 80 tahun, seorang saudari yang mengandung kira-kira enam bulan, dan dua kanak-kanak. Kanak-kanak tersebut telah dibebaskan manakala yang lain telah dibawa ke Penjara Mai Serwa.

Para Saksi di Eritrea yang dipenjarakan kerana iman mereka menderita akibat layanan dan keadaan yang amat teruk. Saudara Negede Teklemariam yang telah dipenjarakan selama 26 tahun kata, “Kami diikat dengan tali dan diseksa oleh para pengawal. Mereka juga memukul kami dengan ganas dan paksa kami buat kerja buruh. . . . Mereka hanya menunggu kami . . . untuk mati.” Sedihnya, empat saudara telah meninggal semasa dalam tahanan akibat suasana penjara yang teruk, dan tiga orang lagi telah meninggal tidak lama selepas dibebaskan dari penjara.

Saudara saudari yang tidak dipenjarakan juga menghadapi cabaran. Oleh kerana mereka tidak mempunyai kewarganegaraan, ramai yang telah kehilangan kerja dan rumah, serta mereka tidak dapat pergi ke mana-mana dengan bebas. Ada juga yang dihina dan diserang oleh jiran dan pegawai kerajaan kerana keneutralan mereka. Selain itu, seorang murid yang ingin mendapatkan pendidikan asas yang penuh dikehendaki untuk menyertai khidmat tentera. Maka, para Saksi yang muda tidak dapat menerima pendidikan asas yang lengkap.

Penganiayaan di Eritrea yang berterusan sungguh menyedihkan. Namun, kita yakin bahawa Yehuwa akan ingat semua saudara saudari di Eritrea yang tetap berdiri teguh meskipun dianiaya selama bertahun-tahun. Semua saudara saudari di seluruh dunia berdoa agar Yehuwa terus menguatkan mereka seraya iman mereka diuji dengan “cubaan yang bagaikan api.”—1 Petrus 4:12-14.