Satu Tawarikh 17:1-27
17 Sebaik sahaja Raja Daud tinggal di dalam istananya, dia berkata kepada Nabi Natan,+ “Beta tinggal di dalam istana yang diperbuat daripada kayu sedar,+ sedangkan tabut perjanjian Yehuwa diletakkan di dalam khemah yang diperbuat daripada kain.”+
2 Natan berkata kepada Daud, “Lakukanlah apa saja yang tuanku inginkan kerana Tuhan yang benar menyertai tuanku.”
3 Pada malam itu juga Tuhan berfirman kepada Natan,
4 “Pergilah kepada hamba-Ku Daud, dan katakanlah kepadanya, ‘Inilah firman Yehuwa: “Bukan engkau yang akan membina sebuah rumah untuk Kudiami.+
5 Sejak Aku menyelamatkan orang Israel sehingga hari ini, Aku tidak pernah tinggal di dalam sebuah rumah. Aku telah berpindah dari satu khemah ke khemah yang lain, dan dari satu tempat tinggal ke tempat tinggal yang lain.+
6 Sepanjang masa Aku bersama bangsa Israel, pernahkah Aku bertanya, ‘Mengapakah kamu tidak mendirikan rumah daripada kayu sedar untuk-Ku?’ Pernahkah Aku menanyakan hal itu kepada hakim-hakim yang telah Aku lantik untuk menggembala umat-Ku?”’
7 “Beritahulah hamba-Ku Daud, ‘Inilah firman Yehuwa, ketua angkatan syurga: “Dahulu engkau menjaga ternakan di padang rumput, tetapi Aku telah mengambil engkau dan menjadikan engkau pemimpin umat-Ku Israel.+
8 Aku akan menyertai engkau ke mana saja engkau pergi.+ Aku akan menyingkirkan semua musuhmu dari hadapanmu.+ Aku akan memasyhurkan namamu, seperti orang kenamaan yang ada di bumi.+
9 Aku akan memilih sebuah tempat untuk umat-Ku Israel dan menempatkan mereka di sana. Mereka akan tinggal di sana tanpa gangguan, dan orang jahat tidak akan menindas mereka lagi.+
10 Sejak Aku melantik hakim-hakim untuk memerintah umat-Ku Israel,+ mereka telah ditindas, tetapi Aku akan mengalahkan semua musuhmu.+ Aku juga berfirman, ‘Yehuwa akan menjadikan keluargamu keturunan diraja.’*
11 “‘“Apabila engkau sampai di akhir hayatmu dan engkau meninggal, Aku akan melantik keturunanmu sebagai raja. Ya, Aku akan melantik salah seorang anakmu,+ dan Aku akan mengukuhkan pemerintahannya.+
12 Anak itulah yang akan membina sebuah rumah untuk-Ku,+ dan Aku akan mengukuhkan takhtanya buat selama-lamanya.+
13 Aku akan menjadi bapanya, dan dia akan menjadi anak-Ku.+ Aku akan terus menunjukkan kasih setia kepadanya,+ walaupun Aku pernah berhenti menunjukkan kasih setia kepada orang sebelum engkau.+
14 Aku akan mengangkat dia dan meletakkan dia di dalam rumah-Ku dan di atas takhta-Ku buat selama-lamanya.+ Pemerintahannya akan kekal buat selama-lamanya.”’”+
15 Natan memberitahu Daud kata-kata itu dan penglihatan itu.
16 Kemudian Raja Daud duduk di hadapan Yehuwa dan berkata, “Ya Tuhan Yehuwa, siapalah aku ini dan siapalah keluargaku sehingga Engkau begitu baik terhadap kami.+
17 Malah Engkau ingin melakukan lebih banyak daripada semua itu, ya Tuhan, kerana Engkau berfirman bahawa keturunan hamba-Mu ini akan wujud buat masa yang lama.+ Ya Tuhan Yehuwa, Engkau menganggap aku sebagai orang yang patut ditinggikan.*
18 Apa lagi yang dapat hamba-Mu ini katakan tentang penghormatan yang telah Engkau berikan? Engkau mengetahui segala sesuatu tentangku.+
19 Ya Yehuwa, demi hamba-Mu ini dan selaras dengan kehendak-Mu,* Engkau melakukan perbuatan-perbuatan besar ini dan menyingkapkan keagungan-Mu.+
20 Ya Yehuwa, tiada Tuhan yang lain selain Engkau.+ Segala-gala yang telah kami dengar membuktikan bahawa Engkau tiada tandingan.
21 Di seluruh bumi ini, tiada bangsa lain seperti umat-Mu Israel.+ Ya Tuhan yang benar, Engkau telah menebus mereka dan menjadikan mereka umat-Mu.+ Engkau mengukir nama baik untuk diri-Mu dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang besar dan menakjubkan.+ Engkau mengusir bangsa-bangsa lain dari hadapan umat-Mu+ yang telah Engkau selamatkan dari Mesir.
22 Engkau telah menjadikan Israel umat-Mu untuk selama-lamanya.+ Ya Yehuwa, Engkau telah menjadi Tuhan mereka.+
23 Ya Yehuwa, tunaikanlah janji yang telah Engkau ucapkan berkenaan aku dan keturunanku untuk sepanjang masa. Semoga Engkau menepati apa yang telah Engkau janjikan.+
24 Semoga nama-Mu diagungkan+ buat selama-lamanya, supaya orang berkata, ‘Yehuwa, ketua angkatan syurga, ialah Tuhan orang Israel. Sememangnya, Dia ialah Tuhan orang Israel.’ Semoga keluarga hamba-Mu ini teguh di hadapan-Mu.+
25 Ya Tuhanku, Engkau telah menyingkapkan bahawa Engkau akan menjadikan keluargaku keturunan diraja. Itulah sebabnya aku mengucapkan doa ini kepada-Mu.
26 Ya Yehuwa, Engkaulah Tuhan yang benar. Engkau telah menjanjikan perkara-perkara baik ini untukku.
27 Oleh itu, semoga Engkau memberkati keturunanku supaya mereka memerintah di hadapan-Mu buat selama-lamanya. Ya Yehuwa, Engkau telah memberkati keturunanku, dan keturunanku akan diberkati buat selama-lamanya.”
Nota Kaki
^ Harfiah, “akan membina sebuah rumah untukmu.”
^ Atau “yang penting.”
^ Atau “dengan niat hati-Mu.”