Satu Timotius 5:1-25
5 Janganlah menegur lelaki yang tua dengan kasar.+ Sebaliknya, bercakaplah kepadanya seolah-olah dia bapamu, dan bercakaplah kepada lelaki yang muda seolah-olah dia abang atau adikmu.
2 Bercakaplah kepada wanita yang tua seolah-olah dia ibumu, dan bercakaplah kepada wanita yang muda dengan hati yang murni, seolah-olah dia kakak atau adikmu.
3 Hormatilah dan jagalah balu yang langsung tidak mempunyai sesiapa pun untuk membantu mereka.+
4 Namun, jika seorang balu mempunyai anak cucu, biarlah mereka belajar terlebih dahulu untuk menunjukkan pengabdian kepada Tuhan dengan menjaga keluarga sendiri.+ Mereka harus membalas jasa ibu bapa dan datuk nenek mereka,+ kerana hal ini baik dalam pandangan Tuhan.+
5 Balu yang tidak mempunyai apa-apa dan langsung tidak mempunyai sesiapa pun untuk membantunya, berharap kepada Tuhan.+ Dia terus merayu dan berdoa siang dan malam.+
6 Tetapi balu yang hidup untuk memuaskan nafsunya sudah mati meskipun dia masih hidup.
7 Teruslah memberi mereka arahan-arahan* ini supaya tiada sesiapa pun dapat mencela mereka.
8 Jika sesiapa tidak menyediakan keperluan orang di bawah jagaannya, terutamanya anggota rumah tangganya, dia sudah menyangkal iman dan lebih teruk daripada orang yang tidak beriman.+
9 Seorang balu patut dimasukkan ke dalam senarai orang yang memerlukan bantuan jika dia berumur lebih daripada 60 tahun, merupakan isteri kepada seorang suami sahaja,
10 dan dikenali kerana perbuatan baiknya,+ contohnya dia membesarkan anak-anak dengan baik,+ selalu menyambut orang dengan ramah,+ mencuci kaki umat suci Tuhan,+ membantu orang yang menderita,+ dan mengabdikan dirinya untuk melakukan setiap perbuatan yang baik.
11 Sebaliknya, janganlah masukkan balu yang lebih muda ke dalam senarai itu. Hal ini demikian kerana apabila nafsu seks mereka timbul, mereka mahu berkahwin lalu berpaling daripada Kristus.
12 Oleh sebab mereka memungkiri janji yang dibuat sebelum ini, mereka akan dihakimi.
13 Selain itu, mereka juga memupuk tabiat suka membuang masa dengan pergi dari rumah ke rumah. Ya, mereka bukan sahaja membuang masa, malahan mereka mengumpat, campur tangan dalam urusan orang lain,+ dan bercakap tentang perkara yang tidak seharusnya dikatakan.
14 Maka, aku mahu balu yang lebih muda untuk berkahwin,+ melahirkan anak,+ dan mengurus rumah tangga, supaya para penentang tidak berpeluang untuk mencela kita.
15 Sesungguhnya, sesetengah balu sudah pun menyimpang daripada haluan yang benar lalu mengikut Syaitan.
16 Jika seorang wanita yang percaya kepada Yesus mempunyai sanak saudara yang merupakan balu, hendaklah dia membantu mereka supaya sidang tidak dibebankan. Dengan itu, sidang dapat membantu balu-balu yang langsung tidak mempunyai sesiapa pun untuk membantu mereka.+
17 Hendaklah para penatua yang mengambil pimpinan dengan cara yang baik+ dianggap layak untuk menerima lebih banyak penghormatan,+ terutamanya mereka yang bekerja keras untuk mengajar dan menyampaikan firman Tuhan.+
18 Hal ini demikian kerana ayat suci menyatakan, “Jangan menutup mulut lembu jantan dengan berangus semasa lembu itu sedang mengirik* biji-bijian.”+ Ayat suci juga menyatakan, “Seorang pekerja layak menerima upahnya.”+
19 Janganlah mendengarkan tuduhan yang dilontarkan terhadap seorang penatua, kecuali tuduhan itu disokong oleh keterangan daripada dua atau tiga orang saksi.+
20 Orang yang mengamalkan perbuatan yang berdosa+ haruslah ditegur+ di hadapan umum sebagai amaran kepada orang lain.
21 Aku memberi kamu perintah di hadapan Tuhan dan Kristus Yesus serta malaikat yang dipilih oleh Tuhan, supaya kamu mematuhi arahan-arahan ini tanpa prasangka atau sikap berat sebelah.+
22 Jangan sekali-kali meletakkan tangan kamu secara tergesa-gesa ke atas sesiapa pun,*+ dan jangan mengambil bahagian dalam dosa orang lain. Pastikan kamu tetap murni.
23 Jangan lagi minum air sahaja, tetapi minumlah sedikit wain kerana kamu ada masalah perut dan kerana kamu kerap sakit.
24 Dosa sesetengah orang diketahui secara umum, lalu membawa penghakiman dengan serta-merta. Tetapi dosa orang lain menjadi nyata kelak.+
25 Demikian juga dengan perbuatan baik: Ada yang diketahui umum,+ dan yang tidak diketahui pun tidak akan terus tersembunyi.+
Nota Kaki
^ Atau “perintah-perintah.”
^ Proses memisahkan buah daripada tangkai.
^ Iaitu, jangan melantik sesiapa pun secara tergesa-gesa.