Keluaran 19:1-25
19 Pada bulan ketiga selepas orang Israel keluar dari Mesir, mereka tiba di padang belantara Sinai.
2 Mereka berangkat dari Rafidim+ dan tiba di padang belantara Sinai. Mereka berkhemah di hadapan gunung di situ.+
3 Kemudian, Musa naik ke atas gunung untuk menghadap Tuhan yang benar. Yehuwa memanggil Musa dari gunung itu+ dan berfirman, “Beritahulah keturunan Yakub, orang Israel,
4 ‘Kamu sudah melihat segala yang telah Aku lakukan terhadap orang Mesir.+ Seperti burung helang yang membawa anaknya di atas sayapnya, Aku telah membawa kamu kepada-Ku.+
5 Sekarang, jika kamu sungguh-sungguh mentaati-Ku dan setia kepada perjanjian-Ku, kamu akan menjadi umat pilihan-Ku* antara semua bangsa,+ kerana seluruh bumi ini milik-Ku.+
6 Kamu akan menjadi sebuah kerajaan imam dan bangsa yang suci untuk-Ku.’+ Hendaklah engkau menyampaikan firman ini kepada orang Israel.”
7 Jadi Musa pergi memanggil para pemimpin orang Israel dan memberitahu mereka segala yang diperintahkan oleh Yehuwa kepadanya.+
8 Selepas itu semua orang menjawab dengan sebulat suara, “Kami sudi mematuhi segala yang difirmankan oleh Yehuwa.”+ Dengan segera, Musa menghadap Yehuwa untuk menyampaikan jawapan mereka.
9 Yehuwa berfirman kepada Musa, “Aku akan datang kepadamu di dalam awan tebal supaya umat ini dapat mendengar apabila Aku bercakap denganmu. Dengan itu, mereka juga akan sentiasa mempercayaimu.” Kemudian Musa menyampaikan jawapan mereka kepada Yehuwa.
10 Yehuwa berfirman kepada Musa, “Pergilah menemui orang Israel dan suruhlah mereka menyucikan diri pada hari ini dan esok. Mereka perlu membasuh pakaian mereka.
11 Mereka perlu bersedia pada hari ketiga kerana pada hari ketiga, Aku, Yehuwa, akan turun ke Gunung Sinai di hadapan umat ini.
12 Buatlah sempadan di sekeliling gunung itu dan beritahulah mereka, ‘Jangan naik ke gunung atau melintasi sempadannya. Sesiapa yang melintasi sempadan itu pasti akan dihukum mati.
13 Orang itu harus direjam atau dipanah, dan kamu tidak boleh menyentuhnya. Peraturan ini berlaku untuk manusia dan binatang.’+ Tetapi apabila trompet*+ ditiup, mereka boleh mendekati gunung.”
14 Kemudian Musa turun dari gunung dan menyuruh orang Israel menyucikan diri dan membasuh pakaian mereka.+
15 Dia berkata, “Bersiaplah untuk hari ketiga. Sementara itu kamu tidak boleh melakukan hubungan seks.”
16 Pada waktu pagi hari ketiga, ada guruh dan kilat di atas gunung. Awan yang tebal+ kelihatan di situ dan ada bunyi trompet yang kuat sekali. Segenap umat Israel di perkhemahan menggeletar ketakutan.+
17 Musa pun membawa mereka keluar dari perkhemahan untuk bertemu dengan Tuhan yang benar, dan mereka berdiri di kaki gunung.
18 Seluruh Gunung Sinai diliputi asap kerana Yehuwa telah turun ke atasnya di dalam api.+ Asap itu naik berkepul-kepul seperti asap relau, dan seluruh gunung bergoncang dengan kuat.+
19 Seraya bunyi trompet semakin kuat, Musa bercakap dan Tuhan* yang benar menjawabnya.
20 Yehuwa turun ke atas puncak Gunung Sinai. Kemudian Yehuwa menyuruh Musa naik ke puncak gunung, maka Musa pun naik.+
21 Yehuwa berfirman kepada Musa, “Turunlah dan beritahu umat itu supaya jangan melintasi sempadan untuk melihat Aku, Yehuwa. Jika mereka melintasinya, banyak orang akan dihukum mati.
22 Biarlah para imam* yang selalu menghampiri Aku, Yehuwa, menyucikan diri mereka. Jika tidak, Aku, Yehuwa, akan menghukum mereka.”+
23 Kemudian Musa berkata kepada Yehuwa, “Umat ini tidak akan naik ke Gunung Sinai, kerana Engkau telah memberikan amaran kepada kami. Engkau telah berfirman, ‘Buatlah sempadan di sekeliling gunung, dan anggaplah gunung ini suci.’”+
24 Yehuwa berfirman kepadanya, “Turunlah, kemudian naiklah semula ke sini bersama Harun. Jangan benarkan para imam* dan orang lain melintasi sempadan untuk mendekat kepada Aku, Yehuwa, supaya Aku tidak menghukum mereka.”+
25 Maka Musa pun turun dan menyampaikan semua hal itu kepada orang Israel.
Nota Kaki
^ Atau “menjadi milik-Ku yang amat bernilai.”
^ Atau “tanduk biri-biri jantan.”
^ Harfiah, “suara Tuhan.”
^ Mungkin merujuk kepada ketua keluarga.
^ Mungkin merujuk kepada ketua keluarga.