Kisah Para Rasul 8:1-40

  • Saulus menganiaya sidang (1-3)

  • Penyebaran Filipus di Samaria berhasil (4-13)

  • Petrus dan Yohanes diutus ke Samaria (14-17)

  • Simon mencuba membeli kuasa suci Tuhan (18-25)

  • Sida-sida dari Etiopia (26-40)

8  Saulus menyokong pembunuhan Stefanus.+ Pada hari itu, sidang di Yerusalem menghadapi penganiayaan yang sangat teruk. Semua murid Yesus, kecuali para rasul, tercerai-berai ke seluruh kawasan Yudea dan Samaria.+ 2  Tetapi beberapa orang yang takut akan Tuhan membawa Stefanus untuk dikebumikan, lalu mereka meratapinya dengan sedih sekali. 3  Saulus pula mula berusaha untuk membinasakan sidang. Dia menyerbu rumah demi rumah dan menyeret baik lelaki mahupun wanita ke penjara.+ 4  Namun demikian, murid-murid yang tercerai-berai itu mengisytiharkan berita baik tentang firman Tuhan ke merata tempat.+ 5  Filipus, salah seorang murid Yesus, telah pergi ke kota* Samaria+ dan memberitahu orang di situ tentang Kristus. 6  Orang ramai menumpukan sepenuh perhatian kepada apa yang dikatakan oleh Filipus dan memperhatikan mukjizat yang dilakukannya. 7  Terdapat banyak orang di situ yang dirasuk roh-roh jahat, dan roh-roh jahat itu berteriak lalu keluar daripada mereka.+ Selain itu, ada banyak orang lumpuh dan tempang yang disembuhkan. 8  Oleh itu, penduduk kota itu sangat bersukacita. 9  Ada seorang lelaki di kota itu yang bernama Simon. Sudah agak lama dia membuat bangsa Samaria kagum dengan ilmu sihirnya, dan dia mengaku dirinya seorang yang hebat. 10  Semua orang memberikan perhatian kepadanya, baik yang berkedudukan tinggi mahupun yang berkedudukan rendah. Mereka berkata, “Lelaki ini menerima kuasa yang besar daripada Tuhan.” 11  Mereka mendengarkannya dengan penuh perhatian, kerana sudah lama mereka kagum dengan ilmu sihirnya. 12  Namun, setelah Filipus mengkhabarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan+ dan tentang nama Yesus Kristus, lelaki dan wanita di situ percaya kepadanya lalu dibaptis.+ 13  Simon juga telah percaya, dan dia terus mengikut Filipus+ selepas dibaptis. Simon berasa kagum apabila dia melihat betapa hebatnya mukjizat dan keajaiban yang dilakukan oleh Filipus. 14  Apabila para rasul di Yerusalem mendengar bahawa penduduk Samaria telah menerima firman Tuhan,+ mereka mengutus Petrus dan Yohanes ke sana. 15  Maka Petrus dan Yohanes pergi dan berdoa supaya mereka diberi kuasa suci Tuhan,+ 16  kerana kuasa suci-Nya belum turun ke atas sesiapa pun dalam kalangan mereka. Mereka hanya dibaptis atas nama Tuan Yesus.+ 17  Kemudian Petrus dan Yohanes meletakkan tangan mereka ke atas orang di situ,+ dan mereka pun menerima kuasa suci Tuhan. 18  Apabila Simon melihat bahawa kuasa suci Tuhan diberikan semasa rasul-rasul meletakkan tangan mereka ke atas seseorang, dia menawarkan wang kepada mereka 19  dan berkata, “Berikanlah kebolehan ini kepadaku juga, supaya orang lain menerima kuasa suci Tuhan apabila aku meletakkan tanganku ke atas mereka.” 20  Tetapi Petrus berkata kepadanya, “Binasalah kamu bersama-sama wang perakmu! Kamu menyangka bahawa kamu boleh menggunakan wang untuk membeli kurniaan Tuhan yang diberikan secara percuma.+ 21  Kamu tiada bahagian dalam hal ini, kerana hatimu tidak tulus di mata Tuhan. 22  Bertaubatlah dan tinggalkanlah kejahatanmu. Hendaklah kamu merayu kepada Yehuwa,* mudah-mudahan Dia akan mengampunkan niat jahat dalam hatimu. 23  Aku tahu bahawa kamu ini seperti racun dan selalu ingin melakukan apa yang salah.” 24  Simon berkata, “Tolonglah merayu kepada Yehuwa* bagiku, supaya apa yang kamu katakan itu tidak menimpa aku.” 25  Setelah mereka memberikan kesaksian dengan menyeluruh dan menyebarkan firman Yehuwa,* mereka kembali ke Yerusalem. Dalam perjalanan, mereka mengkhabarkan berita baik di banyak pekan orang Samaria.+ 26  Malaikat Yehuwa*+ berkata kepada Filipus, “Bangunlah dan pergilah ke arah selatan, ke jalan yang menghubungkan Yerusalem dengan Gaza.” (Jalan ini terletak di padang gurun.) 27  Maka Filipus pun bangun dan bertolak. Di situ, ada seorang sida-sida dari Etiopia.* Dia pegawai tinggi yang berkhidmat kepada Kandake, iaitu ratu negeri Etiopia, dan dia bertanggungjawab mengurus semua harta ratu. Lelaki ini telah pergi ke Yerusalem untuk beribadat,+ 28  dan dia dalam perjalanan pulang. Dia duduk di dalam kereta kudanya sambil membaca kitab Nabi Yesaya dengan suara yang lantang. 29  Kuasa suci Tuhan berkata kepada Filipus, “Pergi hampiri kereta kuda itu.” 30  Jadi Filipus berlari di sebelah kereta kuda lalu mendengar sida-sida itu membaca kitab Nabi Yesaya. Maka dia bertanya, “Adakah tuan memahami apa yang tuan baca?” 31  Sida-sida itu menjawab, “Bagaimana mungkin aku memahaminya jika tiada orang yang mengajar aku?” Lalu dia menggesa Filipus menaiki kereta kudanya dan duduk bersamanya. 32  Bahagian Ayat-Ayat Suci yang sedang dibacanya berbunyi, “Seperti seekor bebiri, dia dibawa untuk disembelih. Seperti anak bebiri yang tidak bersuara semasa bulunya digunting, dia juga tidak membuka mulutnya.+ 33  Semasa dia dihina, dia tidak dihakimi dengan adil.+ Memandangkan nyawanya dicabut dari muka bumi, tiada seorang pun yang mengambil peduli akan butiran tentang asal usulnya.”+ 34  Sida-sida itu berkata kepada Filipus, “Tolonglah beritahu aku, siapakah yang dimaksudkan oleh nabi itu? Dirinya sendiri atau orang lain?” 35  Maka Filipus mula bercakap. Dia memberitahu sida-sida itu berita baik tentang Yesus, bermula dengan ayat yang dibacanya. 36  Mereka menyusuri jalan itu dan tiba di suatu tempat yang banyak airnya. Sida-sida itu berkata, “Lihat, di sini ada air! Apakah yang menghalang aku daripada dibaptis?” 37 * —— 38  Maka dia memerintahkan agar kereta kuda itu dihentikan. Kemudian Filipus dan sida-sida itu turun ke dalam air, lalu Filipus membaptisnya. 39  Apabila mereka keluar dari air, kuasa suci Yehuwa* segera memimpin Filipus ke tempat lain. Sida-sida itu tidak melihatnya lagi, lalu meneruskan perjalanan dengan sukacita. 40  Filipus pergi ke Asdod dan terus menyebarkan berita baik di semua kota sehingga dia tiba di Kaisarea.+

Nota Kaki

Atau mungkin, “sebuah kota di.”
Atau “Habsyah.”