Surat kepada Sidang di Kolose 1:1-29
1 Aku, Paulus, yang menjadi rasul Kristus Yesus menurut kehendak Tuhan, dan saudara kita Timotius+
2 menulis surat ini kepada umat suci Tuhan dan saudara-saudara setia di Kolose yang bersatu dengan Kristus:
Semoga kamu semua dikurniai kebaikan hati yang unggul dan kedamaian daripada Tuhan, Bapa kita.
3 Kami sentiasa bersyukur kepada Tuhan, iaitu Bapa kepada Tuan kita, Yesus Kristus, semasa kami berdoa untuk kamu,
4 kerana kami mendengar tentang iman kamu kepada Kristus Yesus dan kasih kamu kepada semua umat suci.
5 Kamu berbuat demikian kerana harapan yang menantikan kamu di syurga.+ Sebelum ini, kamu sudah mendengar tentang harapan ini melalui perkhabaran tentang kebenaran berita baik
6 yang disampaikan kepada kamu. Berita baik ini membuahkan hasil dan tersebar ke seluruh dunia.+ Halnya sama seperti apa yang berlaku dalam kalangan kamu sejak hari kamu mendengar dan mengetahui dengan tepat tentang kebaikan hati Tuhan yang sebenar.
7 Itulah yang telah kamu pelajari daripada Epafras,+ seorang hamba seperti kami, yang kami kasihi. Dia berkhidmat dengan setia kepada Kristus bagi pihak kami.
8 Dia juga telah memberitahu kami tentang kasih kamu yang dihasilkan melalui kuasa suci Tuhan.*
9 Itulah sebabnya sejak hari kami mendengar tentang hal itu, kami tidak pernah berhenti berdoa untuk kamu.+ Kami memohon agar kamu dipenuhi dengan pengetahuan yang tepat+ mengenai kehendak Tuhan, dan agar kamu memiliki segala kebijaksanaan dan pemahaman rohani.+
10 Dengan demikian, jalan hidup kamu akan selaras dengan kehendak Yehuwa,* menyenangkan hati-Nya dengan sepenuhnya, dan membuahkan hasil dalam setiap kerja baik kamu. Selain itu, pengetahuan yang tepat tentang Tuhan yang kamu miliki akan terus bertambah.+
11 Semoga kuasa Tuhan yang mulia memberi kamu segala kekuatan yang diperlukan,+ agar kamu tabah menempuh segala sesuatu dengan sabar dan sukacita.
12 Pada masa yang sama, bersyukurlah kepada Bapa kita yang menjadikan kamu layak untuk menerima sebahagian daripada warisan yang dijanjikan kepada umat suci+ yang berada dalam cahaya.
13 Dia telah menyelamatkan kita daripada kuasa kegelapan+ dan memindahkan kita ke dalam kerajaan Anak-Nya yang dikasihi.
14 Melalui Anak-Nya, kita ditebus dan dibebaskan, dan dosa kita diampunkan.+
15 Anak itu merupakan gambaran kepada Tuhan yang tidak kelihatan+ dan anak sulung antara semua ciptaan,+
16 kerana segala sesuatu yang lain diciptakan melalui dia, baik yang di syurga mahupun yang di bumi, baik yang kelihatan mahupun yang tidak kelihatan,+ sama ada takhta, pemimpin, kerajaan, atau penguasa. Segala sesuatu yang lain diciptakan melaluinya+ dan diciptakan untuknya.
17 Dia wujud sebelum segala sesuatu yang lain,+ dan melaluinya segala sesuatu yang lain diciptakan.
18 Dia ialah kepala bagi tubuh, dan tubuh itu ialah sidang.+ Dialah permulaan segala sesuatu dan anak sulung daripada kalangan orang mati.+ Dengan demikian, dia menjadi orang yang pertama dalam segala sesuatu.
19 Tuhan berasa senang hati untuk menjadikan segala sesuatu lengkap dalam diri Anak-Nya.+
20 Melalui Anak-Nya, Dia berbaik semula dengan segala sesuatu yang lain,+ baik yang di bumi mahupun yang di syurga. Tuhan berdamai dengan mereka melalui darah Anak-Nya+ yang dicurahkan pada tiang seksaan.*
21 Sememangnya, kamu pernah terasing daripada Tuhan dan menjadi musuh-Nya, kerana fikiran kamu tertumpu kepada perbuatan yang jahat.
22 Namun, Tuhan kini berbaik semula dengan kamu menerusi kematian dia yang mengorbankan tubuhnya. Dia melakukannya agar kamu dapat dipersembahkan di hadapan Tuhan dalam keadaan yang suci, tanpa cela, dan bebas daripada tuduhan.+
23 Sudah tentu, kamu harus tetap beriman,+ bertapak pada asas+ yang kukuh, berdiri teguh,+ dan tidak berganjak daripada harapan berita baik yang sudah kamu dengar dan yang sudah disebarkan kepada semua ciptaan di bawah langit.+ Aku, Paulus, menjadi hamba untuk menyebarkan berita baik itu.+
24 Aku sekarang bersukacita walaupun aku menderita demi kamu.+ Demi tubuh Kristus, iaitu sidang,+ aku berasa bahawa aku belum mengalami kesengsaraan dengan sepenuhnya sebagai anggota tubuh Kristus.+
25 Demi kamu, aku menjadi hamba bagi sidang ini, sesuai dengan tanggungjawab sebagai pengurus rumah tangga+ yang diamanahkan oleh Tuhan kepadaku. Aku diamanahkan tugas untuk menyebarkan firman Tuhan dengan sepenuhnya,
26 iaitu untuk mengkhabarkan rahsia suci+ yang telah disembunyikan semenjak sistem-sistem dunia yang lampau*+ dan semenjak generasi-generasi yang lalu. Tetapi kini rahsia suci itu telah disingkapkan kepada umat suci Tuhan.+
27 Tuhan berasa senang hati untuk memberitahu mereka tentang rahsia suci itu yang telah disingkapkan dalam kalangan bangsa-bangsa lain.+ Inilah rahsia suci yang penuh dengan kemuliaan dan kekayaan rohani itu: Kristus bersatu dengan kamu, dan hal ini bererti kamu mempunyai harapan untuk menikmati kemuliaannya.+
28 Kita mengisytiharkan dia kepada semua orang, dan kita menasihati dan mengajar mereka dengan segala kebijaksanaan agar kita dapat mempersembahkan setiap orang kepada Tuhan sebagai pengikut Kristus yang matang.+
29 Untuk tujuan ini aku bekerja dengan keras. Aku berusaha sedaya upaya dengan kekuatan Tuhan yang sedang bekerja dalam diriku.+
Nota Kaki
^ Lihat Lampiran A5.