Zakharia 8:1-23
-
Yehuwa memberi Sion kedamaian dan kebenaran (1-23)
8 Aku menerima satu lagi perkhabaran daripada Yehuwa, ketua angkatan syurga. Dia berfirman,
2 “‘Aku mengambil berat terhadap Sion dan sangat mengasihinya.+ Aku pasti akan mempertahankannya, dan musuhnya akan merasai kemurkaan-Ku yang bernyala-nyala.’ Demikianlah firman Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga.”
3 “Aku, Yehuwa, berfirman, ‘Aku akan kembali ke Sion+ dan tinggal di Yerusalem.+ Yerusalem akan dikenali sebagai kota kebenaran,*+ dan gunung Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga, akan dikenali sebagai gunung yang suci.’”+
4 “Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, ‘Datuk dan nenek yang sangat tua akan duduk lagi di dataran kota Yerusalem sambil memegang tongkat.+
5 Dataran kota juga akan penuh dengan budak lelaki dan budak perempuan yang bermain-main.’”+
6 “Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, ‘Pada masa itu, mereka yang masih hidup dalam kalangan umat-Ku mungkin menganggap hal itu mustahil, namun adakah hal itu mustahil bagi-Ku?’ Demikianlah firman Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga.”
7 “Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, ‘Aku akan menyelamatkan umat-Ku dari negeri di timur dan di barat.+
8 Aku akan membawa mereka kembali, dan mereka akan tinggal di Yerusalem.+ Mereka akan menjadi umat-Ku dan Aku akan menjadi Tuhan+ mereka yang setia dan benar.’”
9 “Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, ‘Beranikanlah hati kamu!*+ Kata-kata para nabi yang kamu dengar sekarang,+ juga diucapkan pada masa batu asas diletakkan untuk membina semula Rumah Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga.
10 Sebelum masa itu, pekerja tidak diberi upah, dan tiada orang yang menyewa binatang.+ Orang yang mengembara juga diancam musuh, kerana Aku telah menyebabkan orang saling berlawan.’
11 “Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman, ‘Tetapi Aku akan memperlakukan orang daripada bangsa ini yang masih hidup, dengan cara yang lain daripada dahulu.+
12 Mereka akan menabur benih kedamaian. Pokok anggur mereka akan berbuah, tanah mereka akan mengeluarkan hasil,+ dan embun akan turun dari langit. Semua itu akan dikurniakan kepada orang daripada bangsa ini yang masih hidup.+
13 Hai orang Yehuda dan orang Israel, walaupun bangsa-bangsa lain+ telah menyebut kamu sebagai contoh semasa mereka mengutuk satu sama lain, Aku akan menyelamatkan kamu dan membuat kamu menjadi berkat kepada orang lain.+ Oleh itu, beranikanlah hati kamu*+ dan janganlah takut!’+
14 “Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga berfirman, ‘“Dahulu Aku mendatangkan malapetaka kepada kamu kerana nenek moyang kamu membangkitkan kemurkaan-Ku.” Demikianlah firman Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga. “Namun, sebagaimana Aku tidak mengubah* keputusan-Ku untuk menghukum kamu,+
15 kini Aku juga tidak akan mengubah keputusan-Ku untuk mendatangkan berkat kepada penduduk Yerusalem dan orang Yehuda.+ Oleh itu, janganlah takut!”’+
16 “‘Hendaklah kamu bercakap benar dengan satu sama lain.+ Semasa kamu mengadili orang di pintu gerbang kota, hakimilah berdasarkan kebenaran dan buatlah keputusan yang mendatangkan kedamaian.+
17 Janganlah merancang perkara yang jahat terhadap satu sama lain+ dan janganlah mengangkat sumpah palsu.+ Aku membenci semua perbuatan itu.’+ Demikianlah firman Aku, Yehuwa.”
18 Yehuwa, ketua angkatan syurga, berfirman lagi kepadaku,
19 “Inilah firman Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga: ‘Puasa pada bulan keempat,+ bulan kelima,+ bulan ketujuh,+ dan bulan kesepuluh,+ akan menjadi perayaan yang membawa sukacita dan kegembiraan bagi orang Yehuda.+ Hendaklah kamu mencintai kebenaran dan kedamaian.’
20 “Inilah firman Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga: ‘Pada masa depan, bangsa-bangsa dan penduduk dari banyak kota akan datang.
21 Penduduk dari kota yang satu akan berjumpa dengan penduduk dari kota yang lain dan berkata, “Marilah kita pergi untuk memohon perkenan Yehuwa dengan sungguh-sungguh. Marilah kita mencari Yehuwa, ketua angkatan syurga. Mari kita pergi bersama-sama.”+
22 Banyak orang dan banyak bangsa yang kuat akan datang ke Yerusalem+ untuk mencari Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga, dan memohon perkenan Aku, Yehuwa.’
23 “‘Pada masa itu, 10 orang daripada semua bangsa dan bahasa+ akan memegang jubah* seorang Yahudi dengan erat sambil berkata, “Kami hendak pergi bersama-samamu,+ kerana kami sudah mendengar bahawa Tuhan menyertai kamu.”’+ Demikianlah firman Aku, Yehuwa, ketua angkatan syurga.”
Nota Kaki
^ Atau “kota kesetiaan.”
^ Atau “Kuatkanlah tangan kamu!”
^ Atau “kuatkanlah tangan kamu.”
^ Atau “menyesali.”
^ Atau “hujung jubah.”