Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

CERITA 12

Yakub Menerima Warisan Keluarga

Yakub Menerima Warisan Keluarga

Ishak berumur 40 tahun semasa dia berkahwin dengan Ribka. Dia sangat mencintai isterinya. Kemudian, Ribka melahirkan anak lelaki kembar.

Anak yang sulung bernama Esau, dan adiknya ialah Yakub. Esau gemar melakukan aktiviti di luar, dan dia sangat mahir memburu binatang. Tetapi Yakub suka tinggal di rumah.

Pada zaman itu, tanah dan wang keluarga akan diberikan kepada anak sulung apabila ayahnya meninggal. Pemberian itu dipanggil sebagai warisan. Bagi keluarga Ishak, janji-janji Tuhan kepada Abraham juga termasuk dalam warisan itu. Esau tidak peduli akan janji-janji itu. Tetapi, Yakub tahu bahawa janji tersebut sangat penting.

Pada suatu hari, Esau berasa sangat penat selepas memburu sepanjang hari. Apabila dia terhidu bubur kacang merah yang dimasak oleh Yakub, dia berkata, “Cepat! Berilah saya sedikit bubur itu!” Yakub menjawab, “Berjanjilah dulu bahawa abang akan berikan hak abang sebagai anak sulung kepada saya.” Esau berkata, “Ambillah hak itu! Saya tidak peduli tentang warisan itu! Saya hanya mahu makan.” Adakah perbuatan Esau bijak? Tidak. Esau telah melepaskan sesuatu yang bernilai hanya untuk semangkuk bubur.

Memandangkan Ishak semakin tua, dia ingin memberikan berkat kepada anak sulungnya. Tetapi, Ribka membantu Yakub untuk mendapatkan berkat itu. Apabila Esau mengetahui hal itu, dia sangat marah dan merancang untuk membunuh adik kembarnya. Demi keselamatan Yakub, Ishak dan Ribka berkata, “Yakub, carilah pak cikmu Laban, dan tinggallah bersamanya sehingga abangmu tidak marah lagi.” Yakub mentaati nasihat ibu bapanya dan pergi dari sana.

“Apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia tetapi kehilangan nyawanya? Biarpun seseorang menggadaikan segala yang dimilikinya, dapatkah dia menyelamatkan nyawa sendiri?”​—Markus 8:36, 37