PELAJARAN 16
Apakah Peranan Pembantu Sidang?
Menurut Bible, ada dua kumpulan lelaki Kristian yang berkhidmat dalam sidang—“para penyelia dan pembantu sidang.” (Filipi 1:1) Biasanya, beberapa orang saudara memikul tanggungjawab ini dalam setiap sidang. Bagaimanakah pembantu sidang membantu kita?
Mereka membantu badan penatua. Tidak kira tua atau muda, pembantu sidang ialah saudara yang berfikiran rohani, bertanggungjawab, dan rajin. Mereka menjalankan tugas-tugas praktikal yang penting dalam sidang. Dengan bantuan mereka, para penatua dapat bertumpu kepada kerja mengajar dan menjaga kawanan Tuhan.
Mereka menjalankan tugas-tugas praktikal. Sesetengah pembantu sidang ditugaskan sebagai penyambut tetamu semasa perjumpaan. Yang lain mungkin mengendalikan sistem bunyi, mengedarkan bahan bacaan, mengurus akaun sidang, dan menugaskan kawasan penyebaran kepada ahli-ahli sidang. Mereka juga membantu menyelenggarakan Dewan Perjumpaan. Barangkali mereka ditugaskan oleh penatua untuk membantu saudara saudari yang lanjut usia. Pembantu sidang rela melaksanakan apa-apa tugas yang diberikan, maka mereka wajar dihormati oleh semua.—1 Timotius 3:13.
Mereka memberikan contoh yang baik sebagai saudara Kristian. Pembantu sidang dilantik kerana sifat-sifat Kristian mereka yang terpuji. Apabila mereka mengendalikan tugasan di perjumpaan, mereka menguatkan iman kita. Teladan mereka dalam kerja penyebaran menyemarakkan lagi semangat kita. Oleh sebab mereka bekerjasama dengan badan penatua, kita dapat menikmati sukacita dan perpaduan. (Efesus 4:16) Lama-kelamaan, mereka juga mungkin memenuhi syarat untuk berkhidmat sebagai penatua.
-
Apakah sifat-sifat yang harus dimiliki oleh pembantu sidang?
-
Bagaimanakah mereka membantu sidang untuk berfungsi dengan lancar?