Kebencian Akan Dilenyapkan buat Selama-Lamanya!
Biarpun kita mungkin sudah berjaya membuang kebencian daripada hati kita, kita tidak dapat membuang kebencian daripada hati orang lain. Akibatnya, ramai orang yang tidak bersalah masih menjadi mangsa kebencian. Jadi, siapakah yang dapat menghentikan kebencian buat selama-lamanya?
Hanya Tuhan Yehuwa yang dapat memutuskan kitaran kebencian buat selama-lamanya. Bible telah berjanji bahawa Dia pasti akan melakukannya.—Amsal 20:22.
TUHAN AKAN MELENYAPKAN SEGALA PUNCA KEBENCIAN
-
1. SYAITAN SI IBLIS. Syaitan, malaikat yang melawan Tuhan itu, ialah dalang di sebalik semua kebencian. Tuhan akan membinasakan Syaitan dan semua orang yang menunjukkan kebencian sepertinya.—Mazmur 37:38; Roma 16:20.
-
2. DUNIA SYAITAN YANG DIPENUHI KEBENCIAN. Tuhan akan melenyapkan semua kejahatan di dunia ini, termasuk ahli politik yang makan suap dan pemimpin agama yang membangkitkan kebencian. Tuhan juga akan melenyapkan sistem perniagaan yang membuat orang bersifat tamak, suka menerima rasuah, dan mengambil kesempatan atas orang lain.—2 Petrus 3:13.
-
3. KETIDAKSEMPURNAAN MANUSIA. Bible menjelaskan bahawa semua manusia mewarisi ketidaksempurnaan. Oleh itu, manusia cenderung menuruti fikiran, perasaan, dan perbuatan yang salah, seperti membenci orang lain. (Roma 5:12) Namun, apabila Tuhan melenyapkan ketidaksempurnaan manusia, kita tidak akan lagi dipengaruhi oleh rasa benci buat selama-lamanya.—Yesaya 54:13.
BIBLE MENJANJIKAN DUNIA YANG BEBAS DARIPADA KEBENCIAN
-
1. TIADA LAGI KETIDAKADILAN. Kerajaan Tuhan yang terletak di syurga akan memerintah bumi. Kerajaan ini akan membawa keadilan buat selama-lamanya. (Daniel 2:44) Pada masa itu, tiada lagi sikap prasangka dan tidak bertolak ansur. Tuhan akan melenyapkan segala ketidakadilan yang berlaku sekarang.—Lukas 18:7.
-
2. SEMUA ORANG AKAN HIDUP DAMAI. Tiada lagi manusia yang akan menderita akibat keganasan atau peperangan. (Mazmur 46:9) Bumi akan menjadi tempat yang selamat kerana hanya didiami oleh orang yang mencintai kedamaian.—Mazmur 72:7.
-
3. SEMUA ORANG AKAN MENIKMATI KEHIDUPAN YANG SEMPURNA BUAT SELAMA-LAMANYA. Semua orang di bumi akan saling mengasihi. (Matius 22:39) Tiada orang akan berasa susah hati, dan kenangan buruk juga tidak akan terlintas dalam fikiran mereka lagi. (Yesaya 65:17) Setelah kebencian dilenyapkan, manusia “akan menikmati kebahagiaan dan kedamaian yang berlimpah-limpah.”—Mazmur 37:11.
Adakah anda ingin hidup dalam dunia sebegitu? Bahkan sekarang, ramai orang telah berjaya menyingkirkan rasa benci dengan mengikut prinsip Bible. (Mazmur 37:8) Itulah yang dilakukan oleh jutaan Saksi-Saksi Yehuwa di seluas dunia. Walaupun mereka berasal daripada budaya dan latar belakang yang berbeza, mereka bagaikan sebuah keluarga yang bersatu padu dan penyayang.—Yesaya 2:2-4.
Saksi-Saksi Yehuwa gembira untuk mengongsi dengan anda apa yang telah dipelajari oleh mereka tentang cara menghadapi ketidakadilan dan diskriminasi. Anda dapat belajar untuk menyingkirkan rasa benci secara beransur-ansur dan menggantikannya dengan kasih. Anda juga akan belajar cara untuk menunjukkan kebaikan hati kepada semua orang, bahkan kepada mereka yang tidak tahu bersyukur atau yang membenci anda. Hasilnya, anda akan lebih bahagia dan menikmati hubungan yang baik dengan orang lain. Yang terpenting, anda akan belajar bagaimana anda dapat hidup di dunia yang diperintah oleh Kerajaan Tuhan, yang bebas daripada kebencian buat selama-lamanya.—Mazmur 37:29.