Ketika Pasangan Berlaku Curang
KITA pasti hancur hati jika teman hidup kita berlaku curang. Memang benar, sesetengah orang dapat memaafkan dan berbaik semula dengan pasangan mereka yang insaf. * Namun, tidak kira perkahwinan mereka berjaya diselamatkan atau tidak, pihak yang dikhianati tentu amat pedih hati. Bagaimanakah mereka dapat menghadapi situasi sebegini?
AYAT BIBLE YANG DAPAT MEMBANTU
Ramai orang yang berdukacita kerana dikhianati pasangan mereka telah mendapat kelegaan dengan membaca Bible. Melalui Bible, mereka tahu bahawa Tuhan melihat air mata mereka dan merasai keperitan mereka.—Maleakhi 2:13-16.
“Apabila aku dilanda kekhuatiran, Engkau menenangkan dan melegakan jiwaku.”—Mazmur 94:19.
“Semasa membaca ayat itu, saya dapat bayangkan Yehuwa seperti seorang bapa yang penyayang, yang sedang membelai-belai hati saya yang merana,” kata Bill.
“Engkau setia kepada orang yang setia.”—Mazmur 18:25.
Suami Carmen telah berlaku curang selama berbulan-bulan. Carmen berkata, “Suami saya tidak setia, tetapi saya yakin Yehuwa selalu setia. Dia tidak akan mengecewakan saya.”
“Janganlah khuatir akan apa-apa pun. Dalam segala hal, nyatakanlah permohonan kamu kepada Tuhan melalui doa dan rayuan . . . Dengan demikian kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu.”—Filipi 4:6, 7.
“Saya baca ayat itu berulang kali,” kata Sasha. “Apabila saya semakin kerap berdoa, Tuhan membantu saya hidup tenang dan sejahtera.”
Semua orang yang disebut tadi pernah terfikir untuk menyerah, tetapi mereka percaya kepada Tuhan Yehuwa, dan mereka dikuatkan setelah mengkaji Bible. Bill berkata, “Kepercayaan sayalah yang memberi saya tujuan hidup apabila hal-hal lain dalam hidup saya hancur. Walaupun saya terpaksa berjalan ‘di lembah yang gelap-gelita’ untuk seketika, Tuhan ada bersama saya.”—Mazmur 23:4.
^ Semasa mempertimbangkan sama ada untuk memaafkan pasangan hidup yang curang atau tidak, maklumat dalam Sedarlah! terbitan 22 April 1999 (bahasa Indonesia) dapat membantu anda: “Perselingkuhan—Konsekuensinya yang Tragis,” “Mungkinkah Bersatu Kembali?” dan “Memilih Bercerai.”