Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

TOPIK UTAMA | APABILA ORANG TERSAYANG MENINGGAL

Adakah Salah untuk Bersedih?

Adakah Salah untuk Bersedih?

Pernahkah anda jatuh sakit untuk suatu jangka masa? Anda mungkin cepat sembuh dan lupa tentang hal itu. Namun, kesedihan bukanlah seperti itu. Dalam bukunya Healing a Spouse’s Grieving Heart, Doktor Alan Wolfelt menyatakan, “Kita tidak boleh ‘mengatasi’ kesedihan.” Dia menambah, “Dengan peredaran masa dan bantuan daripada orang, kesedihan kita boleh beransur-ansur kurang.”

Misalnya, fikirkan contoh Abraham. Teks asal Bible berkata bahawa “Abraham mula sedih dan meratapi kematian isterinya.” Ungkapan “mula” dalam bahasa asal membawa maksud bahawa masa yang lama diperlukan oleh Abraham untuk menghadapi kehilangan isterinya. * Satu lagi contoh ialah Yakub. Dia terpedaya dan menyangka bahawa anaknya Yusuf dibunuh oleh binatang buas. Dia meratapi anaknya “berhari-hari lamanya” dan ahli keluarganya pun tidak dapat menghiburkan hatinya. Walaupun bertahun-tahun berlalu, kematian Yusuf masih bermain dalam fikirannya.​—Kejadian 23:2; 37:34, 35; 42:36; 45:28.

Abraham meratapi kematian Sara

Hari ini, hal yang sama dialami oleh mereka yang kehilangan orang yang tersayang. Perhatikan dua contoh berikut.

  • “Suami saya Robert meninggal pada 9 Julai 2008. Seperti hari biasa, kami bersarapan bersama, kemudian memberikan ciuman, memeluk, dan meluahkan kata-kata cinta sebelum dia pergi kerja. Namun, dia terlibat dalam kemalangan jalan raya pada hari itu. Enam tahun sudah berlalu, tetapi hati saya masih berasa pilu. Saya tidak dapat melupakan Rob.”​—Gail, umur 60 tahun.

  • “Walaupun saya sudah kehilangan isteri lebih daripada 18 tahun, saya sangat merinduinya dan masih berasa sedih. Apabila saya menikmati keindahan alam semula jadi, saya terfikir tentang isteri saya. Saya berasa dia juga akan nikmati apa yang saya nikmati sekarang.”​—Etienne, umur 84 tahun.

Jelaslah, perasaan yang menyakitkan dan berlarutan ini biasa dialami. Setiap orang meratapi kematian orang tersayang dalam cara tersendiri. Maka adalah tidak wajar untuk menghakimi cara orang lain menghadapi tragedi sebegini. Kita juga tidak harus menyalahkan diri jika reaksi kita nampaknya keterlaluan semasa orang yang kita sayangi meninggal. Jadi, bagaimanakah kita boleh menangani kesedihan ini?

^ per. 4 Anak Abraham iaitu Ishak juga bersedih buat masa yang lama. Dia masih meratapi kehilangan ibunya, Sara, selama tiga tahun.​—Kejadian 24:67.