Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bible​—Mengapa Begitu Banyak?

Bible​—Mengapa Begitu Banyak?

Mengapakah terdapat begitu banyak terjemahan atau versi Bible hari ini? Pada pendapat anda, adakah versi-versi baharu itu merupakan bantuan atau halangan untuk memahami Bible? Jika anda mengetahui asal usul versi-versi itu, anda dapat membuat penilaian yang bijak.

Namun, siapakah yang menulis Bible yang asal? Bilakah Bible itu ditulis?

BIBLE YANG ASAL

Bible mempunyai dua bahagian. Bahagian pertama terdiri daripada 39 buah buku yang mengandungi “perkhabaran suci daripada Tuhan.” (Roma 3:2) Tuhan telah mengilhami hamba-hamba-Nya untuk menulis buku-buku itu. Penulisan 39 buah buku itu memakan masa kira-kira 1,100 tahun, dari tahun 1513 SM hingga tidak lama selepas tahun 443 SM. Oleh sebab kebanyakan buku itu ditulis dalam bahasa Ibrani, kita memanggil bahagian itu Kitab Ibrani, yang juga dikenali sebagai Perjanjian Lama.

Bahagian kedua terdiri daripada 27 buah buku dan juga merupakan “perkhabaran daripada Tuhan.” (1 Tesalonika 2:13) Tuhan telah mengilhami para pengikut Yesus untuk menulis buku-buku itu. Penulisan 27 buah buku itu memakan masa kira-kira 60 tahun, dari tahun 41 M hingga 98 M. Oleh sebab kebanyakan buku itu ditulis dalam bahasa Yunani, kita memanggil bahagian itu Kitab Yunani Kristian, yang juga dikenali sebagai Perjanjian Baharu.

Seluruh Bible, iaitu perkhabaran Tuhan kepada manusia, terdiri daripada 66 buah buku itu. Namun, mengapakah terjemahan Bible lain dihasilkan pada kemudian hari? Terdapat tiga sebab asas:

  • Supaya orang dapat membaca Bible dalam bahasa ibunda.

  • Untuk membetulkan kesilapan penyalin Bible dan memulihkan teks asal Bible.

  • Untuk mengemaskinikan bahasa yang kuno.

Perhatikan bagaimana faktor-faktor ini mempengaruhi dua terjemahan Bible yang awal.

SEPTUAGINT BAHASA YUNANI

Kira-kira 300 tahun sebelum kelahiran Yesus, para cendekiawan Yahudi mula menterjemahkan Kitab Ibrani ke dalam bahasa Yunani. Terjemahan itu dikenali sebagai Septuagint bahasa Yunani. Mengapakah terjemahan ini dihasilkan? Banyak orang Yahudi pada masa itu tidak lagi menggunakan bahasa Ibrani, tetapi bahasa Yunani. Terjemahan ini membantu mereka mengenal dan mencintai “tulisan-tulisan suci.”​—2 Timotius 3:15.

Septuagint juga membantu jutaan penutur Yunani yang bukan orang Yahudi untuk mengenali ajaran Bible. Bagaimana? “Dari pertengahan abad pertama,” kata Profesor W. F. Howard, “para mubaligh Kristian pergi dari rumah ibadat ke rumah ibadat untuk membuktikan daripada Septuagint bahawa Mesias ialah Yesus.” (Kisah 17:3, 4; 20:20) Itulah salah satu sebabnya banyak orang Yahudi “tidak lagi berminat terhadap Septuagint,” menurut F. F. Bruce, seorang cendekiawan Bible.

Apabila murid-murid Yesus menerima buku-buku dalam Kitab Yunani Kristian, mereka menggabungkannya dengan Kitab Ibrani terjemahan Septuagint, maka terhasillah Bible yang kita miliki hari ini.

VULGATE BAHASA LATIN

Kira-kira 300 tahun selepas Bible disiapkan, seorang cendekiawan agama bernama Jerome menghasilkan terjemahan Bible bahasa Latin, yang kemudiannya dikenali sebagai Vulgate bahasa Latin. Sebenarnya, banyak terjemahan bahasa Latin sudah wujud, jadi mengapakah terjemahan baharu diperlukan? Menurut The International Standard Bible Encyclopedia, Jerome mahu membetulkan “ungkapan yang salah, kesilapan, dan bahagian yang tidak patut dikeluarkan atau ditambahkan.”

Jerome berjaya membetulkan banyak kesalahan itu. Namun kemudiannya pihak gereja melakukan kesalahan yang paling besar: Mereka mengisytiharkan Vulgate bahasa Latin sebagai satu-satunya terjemahan Bible yang boleh diterima. Keadaan itu berlanjutan selama ratusan tahun. Akibatnya, apabila bahasa Latin tidak digunakan lagi, orang ramai pun tidak dapat memahami Bible.

BANYAK TERJEMAHAN BAHARU DIHASILKAN

Selepas itu, terjemahan Bible masih dihasilkan. Contohnya, Peshitta bahasa Suryani dikeluarkan pada abad kelima Masihi. Namun bermula abad ke-14, usaha telah digandakan untuk menyediakan Bible dalam bahasa seharian.

Di England pada lewat abad ke-14, John Wycliffe telah menghasilkan Bible dalam bahasa Inggeris, supaya orang di negaranya tidak perlu bergantung pada Bible bahasa kuno yang tidak difahami. Tidak lama selepas itu, kaedah cetakan Johannes Gutenberg telah membolehkan terjemahan Bible dalam pelbagai bahasa moden dihasilkan dan diedarkan di serata Eropah.

Apabila terjemahan bahasa Inggeris semakin bertambah, para pengkritik mempersoalkan mengapa begitu banyak versi diperlukan. John Lewis, seorang pemimpin agama abad ke-18, menulis: “Bahasa akan menjadi kuno dan susah difahami. Maka terjemahan yang lama perlu disemak untuk memastikan terjemahan itu menggunakan bahasa seharian dan dapat difahami oleh generasi sekarang.”

Cendekiawan Bible hari ini lebih dilengkapi untuk menyemak terjemahan yang lama. Mereka lebih memahami bahasa Bible kuno, dan mereka juga ada naskhah kuno Bible yang ditemui baru-baru ini, yang dapat membantu mereka mengenal pasti teks asal Bible dengan lebih tepat.

Maka versi-versi Bible yang baharu ada nilainya. Sudah tentu sesetengah terjemahan ada kekurangannya. * Namun jika para penyemak menghasilkan sesebuah versi kerana mengasihi Tuhan, usaha mereka akan mendatangkan banyak manfaat.

 

^ per. 24 Lihat rencana tentang cara memilih terjemahan Bible yang baik dalam Menara Pengawal 1 Mei 2008, muka surat 18, dalam bahasa Indonesia.