Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Semasa Pasangan Hidup Melihat Bahan Lucah

Semasa Pasangan Hidup Melihat Bahan Lucah
  • “Saya rasa seolah-olah suami saya sudah berzina berulang kali.”

  • “Saya rasa diri saya hina, hodoh, dan tidak berguna.”

  • “Saya tidak boleh beritahu sesiapa pun tentang hal ini. Saya menderita dalam diam.”

  • “Saya rasa seperti Yehuwa tidak prihatin terhadap saya.”

Kata-kata di atas menunjukkan betapa pedihnya perasaan seorang isteri apabila suaminya melihat bahan lucah. Jika suami itu telah melakukannya secara bersembunyi selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun, si isteri mungkin berasa bahawa dia tidak dapat mempercayai suaminya lagi. Seorang isteri berkata, “Saya rasa saya langsung tidak kenal suami saya. Saya juga tertanya-tanya, ‘Apa lagi yang dirahsiakannya daripada saya?’”

Rencana ini disediakan untuk isteri yang suaminya melihat pornografi. a Rencana ini akan membincangkan prinsip Bible yang dapat melegakan hati si isteri, meyakinkannya bahawa Yehuwa mengasihinya, dan membantunya pulih secara emosi dan rohani. b

APAKAH YANG DAPAT DILAKUKAN OLEH PIHAK YANG TIDAK BERSALAH?

Walaupun anda tidak dapat mengawal tindak-tanduk suami anda, anda dapat melakukan sesuatu untuk mengurangkan kesedihan anda dan mendapat ketenangan minda. Perhatikan cadangan berikut.

Jangan menyalahkan diri sendiri. Seorang isteri mungkin menyalahkan diri semasa suaminya melihat bahan lucah. Alice c berfikir, “Adakah saya tidak cukup bagus sehingga suami saya lebih suka melihat perempuan lain?” Sesetengah isteri pula menyalahkan diri kerana berfikir bahawa reaksi merekalah yang membuat keadaan bertambah buruk. Danielle berkata, “Saya marah dan runsing semasa suami saya melihat pornografi. Saya rasa reaksi sayalah yang merosakkan perkahwinan kami.”

Jika anda berasa begitu, ketahuilah bahawa di mata Yehuwa, anda tidak bertanggungjawab atas perbuatan suami anda. Yakobus 1:14 menyatakan, “Setiap orang dicubai semasa dia digoda dan diumpan oleh keinginannya sendiri.” (Rm. 14:12; Flp. 2:12) Jadi, Yehuwa tidak menyalahkan anda. Sebaliknya, Dia menghargai kesetiaan anda kepada-Nya.​—2 Taw. 16:9.

Jika anda berasa bahawa suami anda melihat bahan lucah kerana anda tidak cukup bagus baginya, ingatlah bahawa hal itu tidak benar. Pakar tentang masalah pornografi menyatakan bahawa orang yang melihat bahan lucah akan mempunyai nafsu yang tidak dapat dipuaskan oleh mana-mana wanita.

Jangan terlalu risau. Catherine, yang suaminya melihat bahan lucah, berkata bahawa dia bimbang sepanjang masa kerana asyik berfikir tentang masalah itu. Frances berkata, “Hati saya tidak tenteram sebaik sahaja saya tidak tahu di mana suami saya. Saya gelisah sepanjang hari.” Isteri-isteri lain pula mengaku bahawa mereka berasa sangat malu semasa berada bersama saudara saudari yang tahu tentang masalah suami mereka. Ada juga yang berasa sunyi kerana mereka fikir tiada orang memahami situasi mereka.

Perasaan sebegini memang normal. Namun jika anda asyik berfikir tentangnya, anda akan menjadi lebih khuatir. Sebaliknya, cubalah berfokus kepada hubungan anda dengan Yehuwa, kerana hal itu dapat membantu anda bertabah.​—Mzm. 62:2; Ef. 6:10.

Anda boleh membaca dan merenungkan kisah Bible tentang wanita yang dibelenggu masalah dan berdoa kepada Yehuwa. Walaupun Yehuwa tidak selalunya menghilangkan masalah mereka, Dia memberi mereka ketenangan dan kelegaan. Sebagai contoh, Hana “pedih hati” kerana situasinya. Tetapi selepas berdoa lama sekali kepada Yehuwa, dia berasa tenang walaupun situasinya tidak segera berubah.​—1 Sam. 1:10, 12, 18; 2 Kor. 1:3, 4.

Pasangan suami isteri mungkin perlu bersama-sama mendapatkan bantuan para penatua

Selain itu, mintalah bantuan para penatua. Mereka merupakan “tempat perlindungan daripada angin kencang, dan bagaikan tempat persembunyian daripada hujan ribut.” (Yes. 32:2) Mereka mungkin dapat memperkenalkan seorang saudari yang dapat melegakan anda dan menjadi tempat mengadu anda.​—Ams. 17:17.

DAPATKAH ANDA MEMBANTU PASANGAN ANDA?

Dapatkah anda membantu suami anda mengatasi tabiat melihat bahan lucah? Kemungkinan ya. Bible berkata bahawa untuk mengatasi masalah atau cabaran yang besar, “berdua lebih baik daripada seorang diri.” (Pkh. 4:9-12) Sebuah kajian menunjukkan bahawa apabila suami isteri saling bekerjasama, pihak yang ketagihan bahan lucah lebih senang mengatasi tabiatnya dan membina semula kepercayaan pasangannya terhadapnya.

Sudah tentu, sebahagian besar hasilnya ditentukan oleh tekad dan kesungguhan pasangan anda untuk membuang tabiat buruknya. Sudahkah dia memohon kekuatan daripada Yehuwa dan meminta bantuan daripada para penatua? (2 Kor. 4:7; Yak. 5:14, 15) Sudahkah dia mengambil langkah untuk melawan godaan, seperti mengehadkan penggunaan alat elektronik dan mengelakkan situasi yang mungkin menyebabkannya mengulangi tabiat buruknya? (Ams. 27:12) Adakah dia sudi meminta bantuan anda dan bersikap jujur dengan anda? Jika demikian, dia mungkin dapat dibantu.

Perhatikan satu contoh. Felicia telah berkahwin dengan Ethan, yang ketagihan pornografi sejak muda. Felicia menjemput Ethan untuk bercakap dengannya setiap kali dia mempunyai keinginan untuk melihat pornografi lagi. Ethan menjelaskan, “Saya memberitahu isteri saya masalah saya dengan jujur dan terbuka. Dia membantu saya menjauhi godaan, sering bertanya tentang keadaan saya, dan membantu saya mengawal penggunaan Internet.” Memang benar, Felicia berasa sedih kerana suaminya ketagihan pornografi. Namun dia berkata, “Jika saya hanya marah dan sakit hati, itu tidak akan membantunya membuang tabiat buruk itu. Semasa membincangkan masalah itu, saya memberitahunya perasaan saya, dan dia lebih bertekad untuk menjauhi bahan lucah dan membina semula kepercayaan saya terhadapnya.”

Perbincangan sebegini bukan sahaja dapat membantu si suami tetap menjauhi pornografi, tetapi juga dapat membina kepercayaan isterinya terhadapnya. Apabila si suami sudi memberitahu isterinya dengan jujur tentang apa kelemahannya, apa yang dilakukannya, dan di mana dia berada, isterinya tidak lagi perlu risau jika suaminya menyembunyikan sesuatu daripadanya.

Adakah anda berasa anda mungkin dapat membantu suami anda juga? Jika ya, bacalah dan bincanglah rencana ini bersama suami anda. Matlamat dia adalah untuk membuang tabiat melihat pornografi dan membina semula kepercayaan anda terhadapnya. Dia patut mendengar luahan hati anda dan berusaha untuk memahami bagaimana tabiat buruknya mempengaruhi anda. Matlamat anda pula adalah untuk menyokong usahanya dan memberinya peluang untuk mendapatkan kepercayaan anda. Anda berdua harus belajar apa yang membuat orang ingin melihat pornografi dan bagaimana masalah ini dapat diatasi. d

Jika anda risau perbincangan sebegini akan membuat anda berdua bertengkar, jemputlah seorang penatua yang anda berdua percayai untuk menemani anda dan memastikan situasi terkawal. Ingatlah bahawa biarpun pasangan hidup anda sudah berjaya mengatasi ketagihan pornografi, anda mungkin masih memerlukan masa untuk mempercayainya. Jadi, janganlah putus asa. Carilah tanda-tanda yang menunjukkan bahawa hubungan anda berdua semakin pulih. Jika anda bersabar dan terus berusaha, lambat laun perkahwinan anda akan menjadi kukuh semula.​—Pkh. 7:8; 1 Kor. 13:4.

BAGAIMANA PULA JIKA DIA MELIHAT PORNOGRAFI LAGI?

Jika suami anda mengulangi tabiat buruknya, adakah ini bermaksud dia tidak bertaubat atau tidak dapat dibantu lagi? Tidak semestinya. Dia mungkin perlu bergelut dengan tabiat ini seumur hidupnya, terutamanya jika dia mempunyai masalah ketagihan pornografi. Setelah berhenti selama bertahun-tahun, dia mungkin mula melihat bahan lucah lagi. Untuk mengelakkan hal itu daripada berlaku, dia masih perlu menguatkan pertahanannya dan terus mengambil langkah berjaga-jaga. (Ams. 28:14; Mat. 5:29; 1 Kor. 10:12) Dia juga perlu ‘membaharui cara dia berfikir’ dan belajar untuk ‘membenci apa yang jahat’ seperti pornografi dan amalan melancap. (Ef. 4:23; Mzm. 97:10; Rm. 12:9) Adakah dia sudi melakukan hal-hal ini? Jika ya, dia mungkin masih dapat dibantu. e

Bertumpulah kepada hubungan anda dengan Yehuwa

Bagaimana pula jika pasangan hidup anda langsung tidak berminat untuk mengatasi masalahnya? Anda mungkin berasa kecewa, marah, dan dikhianati. Untuk mendapatkan ketenangan hati dan minda, serahkanlah masalah anda ke dalam tangan Yehuwa. (1 Ptr. 5:7) Berusahalah untuk menghampiri Yehuwa dengan mengadakan pembelajaran peribadi, berdoa, dan melakukan perenungan. Semasa berbuat demikian, yakinlah bahawa Yehuwa juga akan menghampiri anda. Seperti yang dinyatakan di Yesaya 57:15, Tuhan tinggal bersama mereka yang “remuk hati dan rendah hati” dan mahu memulihkan semangat mereka. Maka teruslah menyembah Yehuwa dengan setia, dan dapatkanlah bantuan daripada para penatua. Akhir sekali, janganlah hilang harapan kerana suami anda mungkin akan berubah suatu hari nanti.​—Rm. 2:4; 2 Ptr. 3:9.

a Rencana ini menggambarkan suami sebagai pihak yang menonton pornografi. Namun, banyak prinsip yang dibincangkan dalam rencana ini dapat membantu suami yang isterinya melihat pornografi.

b Melihat pornografi bukan dasar yang diterima dalam Bible untuk bercerai.​—Mat. 19:9.

c Nama-nama telah diubah.

d Maklumat yang berguna boleh didapati dalam bahan bacaan kita dan di jw.org. Sebagai contoh, lihat “Pornografi Dapat Menghancurkan Perkahwinan Anda” di jw.org; “Anda Dapat Melawan Godaan!” dalam Menara Pengawal, 1 April 2014, ms. 10-12; dan “Pornografi​—Hiburan atau Racun?” dalam Menara Pengawal, 1 Ogos 2013, ms. 3-7.

e Oleh sebab pornografi boleh menyebabkan ketagihan, selain meminta bantuan para penatua, sesetengah pasangan membuat keputusan untuk mendapatkan bantuan pakar.