Kasih yang Ditunjukkan melalui Perbuatan
YOMARA dan dua orang adik lelakinya, Marcelo dan Hiver, tinggal di sebuah kampung kecil di Guatemala. Yomara mula belajar Bible dengan para Saksi, dan tidak lama kemudian adik-adiknya juga mula belajar Bible. Tetapi mereka ada satu cabaran besar. Mereka bertiga buta dan tidak tahu membaca bahasa Braille. Oleh itu, guru Bible mereka akan membacakan bahan pembelajaran dan ayat Bible untuk mereka.
Satu lagi cabaran bagi mereka adalah untuk menghadiri perjumpaan. Tanpa bantuan, mereka tidak dapat membuat perjalanan yang mengambil masa 40 minit ke Dewan Perjumpaan yang terdekat. Tetapi para saudara di sidang membuat aturan untuk membawa mereka ke setiap perjumpaan. Apabila mereka layak memberi tugasan semasa perjumpaan pertengahan minggu, saudara saudari membantu mereka menghafal tugasan mereka.
Pada bulan Mei 2019, perjumpaan mula diadakan di kampung mereka. Pada masa itu, sepasang perintis biasa telah berpindah ke kampung itu. Pasangan itu membuat matlamat untuk mengajar Yomara dan adik-adiknya membaca dan menulis Braille biarpun mereka sendiri tidak mengetahui bahasa itu. Mereka telah pergi ke sebuah perpustakaan untuk belajar bahasa Braille dan cara untuk mengajar Braille kepada orang lain.
Dalam masa beberapa bulan sahaja, ketiga-tiga orang adik-beradik itu dapat membaca Braille dengan lancar. Hal itu membantu mereka membuat lebih banyak kemajuan rohani. a Kini Yomara, Marcelo, dan Hiver berkhidmat sebagai perintis biasa. Marcelo ialah seorang pembantu sidang, dan mereka bertiga sibuk menjalankan aktiviti rohani sepanjang minggu. Semangat mereka yang membara telah menggalakkan orang lain.
Ketiga-tiga orang adik-beradik itu sangat menghargai kasih dan sokongan sidang. “Sejak kali pertama kami berjumpa dengan para Saksi, mereka telah menunjukkan kasih Kristian sejati,” kata Yomara. “Kami ada banyak kawan baik di sidang, dan kami sebahagian daripada persaudaraan antarabangsa yang pengasih,” kata Marcelo. Yomara dan adik-adiknya tidak sabar-sabar menantikan masanya bumi berubah menjadi firdaus.—Mzm. 37:10, 11; Yes. 35:5.
a Brosur Learn to Read Braille direka khas untuk membantu orang yang ada masalah penglihatan atau yang buta untuk membaca dan menulis bahasa Braille.