Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

PELAJARAN 5

Manfaat Bimbingan Orang Dewasa

Manfaat Bimbingan Orang Dewasa

SIAPAKAH YANG PATUT MEMBIMBING ANAK-ANAK?

Kanak-kanak memerlukan bimbingan dan nasihat daripada orang dewasa. Sebagai ibu bapa, anda bertanggungjawab untuk memberikan bimbingan kepada anak-anak anda. Tetapi orang dewasa yang lain juga dapat membantu.

MENGAPAKAH BIMBINGAN ORANG DEWASA PENTING?

Di banyak negara, anak muda jarang meluangkan masa dengan orang dewasa. Sebagai contoh,

  • Kanak-kanak meluangkan banyak masa di sekolah. Tetapi di sana, bilangan guru dan orang dewasa yang lain sangat sedikit jika dibandingkan dengan bilangan murid.

  • Selepas waktu sekolah, sebilangan murid bersendirian di rumah kerana ibu bapa mereka sedang bekerja.

  • Satu kajian mendapati bahawa kanak-kanak di Amerika Syarikat yang berumur antara 8 sehingga 12 tahun menghabiskan sekitar enam jam setiap hari untuk menonton TV, mendengar muzik, dan bermain video game. *

Buku Hold On to Your Kids menyatakan, “Anak muda sering kali mendapatkan bimbingan dan tunjuk ajar daripada rakan sebaya . . . dan bukannya daripada ibu bapa, guru, atau orang dewasa yang lain.”

CARA MEMBERIKAN BIMBINGAN

Luangkan masa bersama anak anda.

PRINSIP BIBLE: “Ajarilah orang muda haluan yang harus ditempuhnya; maka sampai tua pun dia tidak akan menyimpang daripada haluan itu.”​—Amsal 22:6, nota kaki.

Kanak-kanak selalunya mahu ibu bapa mereka untuk membimbing dan membantu mereka. Menurut sesetengah pakar, bahkan kaum remaja pun menghargai bimbingan ibu bapa mereka. Dalam buku You and Your Adolescent, Dr. Laurence Steinberg menulis bahawa ibu bapa memainkan peranan yang paling besar dalam hidup anak mereka. Mereka dapat membentuk sikap dan perangai anak-anak mereka sehingga mereka berumur awal 20-an. Dia juga menulis, “Kaum muda sebenarnya menghargai pendapat anda dan akan mendengar ajaran anda biarpun mereka tidak setuju dengan semua cadangan anda.”

Memandangkan anak-anak anda mahu anda membimbing mereka, berusahalah untuk meluangkan masa dengan mereka dan beritahulah mereka tentang pandangan anda, apa yang penting bagi anda, dan pengalaman hidup anda.

Dapatkan bantuan orang dewasa lain.

PRINSIP BIBLE: “Orang yang bergaul dengan orang bijak akan menjadi bijak.”​—Amsal 13:20.

Jika ada orang dewasa lain yang dapat menjadi teladan bagi anak remaja anda, buatlah aturan agar dia dapat meluangkan masa bersama-sama anak anda. Hal ini tidak bermaksud bahawa anda boleh memberikan tanggungjawab untuk mendidik anak anda kepada orang lain. Tetapi galakan daripada orang dewasa lain yang dapat dipercayai akan membantu anak anda. Dalam Bible, kita mempunyai contoh Timotius dan Paulus. Biarpun Timotius sudah dewasa, dia meraih banyak manfaat daripada pergaulannya dengan Paulus, dan Paulus juga menikmati persahabatannya dengan Timotius.​—Filipi 2:20, 22.

Semenjak abad yang lalu, banyak ahli keluarga seperti datuk, nenek, pak cik, mak cik, atau saudara-mara lain, tidak lagi tinggal bersama-sama atau berpindah ke negara yang lain. Jika demikian, carilah orang dewasa yang merupakan teladan baik untuk membantu anak anda.

^ per. 9 Menurut kajian itu, kaum remaja pula menghabiskan sekitar sembilan jam setiap hari untuk menonton TV, mendengar muzik, dan bermain video game. Hal ini tidak merangkumi masa yang dihabiskan oleh mereka untuk melayari Internet di sekolah atau membuat kerja sekolah.