Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

Saya Dapat Berdamai dengan Tuhan dan Ibu Saya

Saya Dapat Berdamai dengan Tuhan dan Ibu Saya

IBU saya menanya, “Kenapa kamu tidak memuja nenek moyangmu? Tidakkah kamu tahu bahawa kerana merekalah kamu wujud? Tidakkah kamu menghargai mereka? Mengapa kamu sanggup menolak upacara yang kita lakukan sejak dulu lagi?” Ibu berasa bahawa jika saya enggan memuja nenek moyang, maksudnya saya sedang menghina kepercayaan mereka. Kemudian, ibu menangis.

Beberapa bulan sebelum itu, Saksi-Saksi Yehuwa menawarkan pembelajaran Bible kepada ibu. Sebenarnya dia tidak mahu belajar Bible. Tetapi agar tidak menyinggung perasaan mereka, dia mengaturkan supaya saya belajar Bible dengan mereka. Namun sekarang dia marah terhadap saya, hal ini jarang berlaku kerana saya selalu mentaatinya. Kali ini, saya tidak dapat mentaatinya kerana saya ingin menyenangkan hati Yehuwa. Walaupun tidak senang, Yehuwa memberi saya kekuatan.

MULA MENGENALI YEHUWA

Keluarga saya menganut agama Buddha. Namun selepas belajar Bible selama dua bulan, saya yakin bahawa inilah kebenaran. Apabila saya tahu bahawa saya mempunyai Bapa di syurga, saya ingin lebih mengenali-Nya. Pada mulanya, saya dan ibu gemar berbual tentang apa yang saya pelajari. Saya mula menghadiri perjumpaan hari Ahad. Lama-kelamaan, saya memberitahu ibu bahawa saya tidak lagi ingin melakukan upacara orang Buddha. Tiba-tiba, sikapnya berubah. Dia berkata, “Jika ada ahli keluarga yang tidak mengasihi nenek moyang kita, hal itu sangat memalukan.” Dia menyuruh saya berhenti belajar Bible dan menghadiri perjumpaan. Tidak sangka ibu berkata begitu! Dia seolah-olah menjadi orang yang berbeza.

Ayah menyokong ibu. Di Efesus bab 6, saya belajar bahawa saya mesti mentaati ibu bapa. Saya ingin keluarga saya berdamai, jadi saya berfikir jika saya mendengarkan mereka, mereka juga akan mendengarkan saya. Pada masa itu, saya harus membuat persiapan untuk peperiksaan sekolah. Maka saya setuju untuk tidak menghadiri perjumpaan selama tiga bulan. Tetapi saya berjanji kepada Yehuwa bahawa saya akan menghadiri perjumpaan selepas tiga bulan.

Namun keputusan itu kurang bijak. Pertama, saya menyangka bahawa keinginan untuk menyembah Yehuwa masih kuat selepas tiga bulan. Sebaliknya, hubungan saya dengan-Nya menjadi lemah. Kedua, ibu bapa masih memaksa saya berhenti menyembah Yehuwa.

BANTUAN UNTUK MENGHADAPI TENTANGAN

Di Dewan Perjumpaan, terdapat banyak Saksi yang ditentang oleh keluarga. Mereka meyakinkan saya bahawa Yehuwa akan menguatkan saya. (Mat. 10:34-37) Mereka juga menjelaskan bahawa jika saya setia kepada Yehuwa, keluarga saya mungkin dapat belajar tentang-Nya. Jadi saya berdoa dengan tekun kerana mahu bergantung pada Yehuwa.

Ibu bapa menggunakan pelbagai cara untuk menentang saya. Ibu merayu agar saya berhenti belajar Bible dan mengubah fikiran saya. Saya selalu berdiam diri. Jika saya mengatakan sesuatu, kami biasanya bertengkar kerana kami berdua cuba untuk membuktikan diri benar. Sebenarnya jika saya lebih menghormati perasaan dan kepercayaan ibu, keadaan mungkin lebih tenang. Ibu bapa memberi saya lebih banyak tugas supaya saya jarang keluar dari rumah. Kadangkala, mereka juga tidak membenarkan saya masuk ke dalam rumah atau tidak meninggalkan makanan untuk saya.

Ibu meminta bantuan orang lain. Dia bercakap dengan guru sekolah saya, tetapi cara ini tidak berhasil. Ibu membawa saya ke tempat kerjanya supaya majikannya dapat meyakinkan saya bahawa semua agama sia-sia. Dia juga menghubungi saudara-mara kami dan merayu bantuan mereka sambil menangis. Hal ini sangat menyedihkan saya. Tetapi, para penatua mengingatkan saya bahawa ibu sebenarnya memberikan kesaksian kepada orang lain.

Ibu bapa ingin saya pergi ke universiti dan mendapat pekerjaan baik. Kami tidak dapat membincangkan hal ini dengan tenang, maka saya menulis surat untuk menjelaskan matlamat saya. Ayah sangat marah dan berkata, “Jika kamu fikir bahawa kamu dapat cari kerja, dapatkannya esok. Jika tidak, keluar dari rumah ini.” Saya berdoa kepada Yehuwa. Semasa menginjil keesokan hari, dua orang saudari meminta saya mengajar anak mereka. Namun, Ayah tidak gembira. Jadi dia tidak bercakap dengan saya dan tidak mempedulikan saya. Ibu berkata bahawa lebih baik saya menjadi penjenayah daripada seorang Saksi.

Yehuwa membetulkan pandangan saya dan saya tahu apa yang harus dilakukan

Saya tertanya-tanya sekiranya Yehuwa ingin saya memperlakukan ibu bapa seperti ini. Maka, saya berdoa dan merenungkan apa yang dikatakan Bible tentang kasih-Nya. Hal ini membantu saya berfikiran positif dan memahami bahawa ibu bapa sebenarnya risau tentang saya. Yehuwa membetulkan pandangan saya dan saya tahu apa yang harus dilakukan. Selain itu, semakin kerap saya keluar menginjil, saya semakin menikmatinya. Ya, saya ingin menjadi perintis.

BERKHIDMAT SEBAGAI SEORANG PERINTIS

Sesetengah saudari tahu bahawa saya mahu merintis. Maka mereka menasihati saya untuk bersabar dan tunggu sehingga ibu bapa bertenang. Saya berdoa memohon kebijaksanaan, membuat penyelidikan, berfikir tentang sebab saya ingin merintis, dan bercakap dengan mereka yang matang. Saya ingin menggembirakan hati Yehuwa. Lagipun, menangguhkan masa untuk menjadi perintis tidak semestinya mengubah pandangan ibu bapa.

Saya mula merintis pada tahun terakhir di sekolah. Kemudian, saya ingin berkhidmat di tempat yang memerlukan bantuan. Namun ibu bapa tidak mahu saya meninggalkan rumah. Jadi saya tunggu sehingga berumur 20 tahun. Kemudian saya meminta pejabat cawangan untuk memberi saya tugas di bahagian selatan Jepun. Saudara-mara saya tinggal di situ, jadi ibu tidak akan terlalu risau.

Di situ, saya gembira kerana beberapa pelajar Bible saya dibaptis. Saya mula belajar bahasa Inggeris kerana ingin meluaskan khidmat saya. Saya juga nampak semangat dua orang perintis khas dan cara mereka membantu orang. Maka saya juga ingin menjadi perintis khas. Sepanjang masa itu, ibu jatuh sakit sebanyak dua kali. Dia tidak sangka saya akan kembali untuk membantunya. Hasilnya, sikapnya menjadi semakin lembut.

BERKAT YEHUWA YANG BERLIMPAH

Tujuh tahun kemudian, Atsushi, salah seorang perintis khas yang disebut tadi menghantar surat. Dia mahu berkahwin dan ingin mengetahui perasaan saya terhadapnya. Saya tidak pernah mempunyai perasaan romantik terhadap Atsushi. Namun sebulan kemudian, saya memberinya jawapan bahawa saya sudi untuk lebih mengenalinya. Kami mempunyai matlamat yang sama. Kami ingin terus berkhidmat sepenuh masa dan rela menerima apa sahaja tugasan. Akhirnya, kami berkahwin. Saya gembira kerana ibu bapa serta saudara-mara menghadiri perkahwinan kami.

Nepal

Kami berkhidmat sebagai perintis biasa. Kemudian, kami dilantik sebagai perintis khas lalu melakukan kerja litar. Selepas melawat semua sidang dalam litar, kami mendapat panggilan dari pejabat cawangan. Mereka menanya jika kami rela melakukan kerja litar di Nepal.

Saya belajar banyak perkara tentang Yehuwa semasa berkhidmat di beberapa negara yang berbeza

Saya risau tentang perasaan ibu bapa jika saya berpindah. Jadi saya menelefon mereka. Ayah berkata, “Kamu akan pergi ke tempat yang indah.” Satu minggu sebelumnya, seorang kawan ayah memberinya buku tentang Nepal. Ayah berfikir bahawa tempat itu bagus untuk dilawat.

Kami gembira untuk berkhidmat dengan orang Nepal yang mesra. Kemudian, kami juga melakukan kerja litar di Bangladesh. Walaupun dekat dengan Nepal, Bangladesh merupakan tempat yang sangat berbeza. Di sana kami berjumpa pelbagai jenis orang. Selepas lima tahun, kami ditugaskan kembali ke Jepun dan berkhidmat di sini sampai sekarang.

Saya belajar banyak perkara tentang Yehuwa semasa berkhidmat di Jepun, Nepal, dan Bangladesh. Penduduk negara itu masing-masing memiliki latar belakang dan budaya yang unik. Setiap orang juga sangat istimewa. Saya dapat lihat bagaimana Yehuwa menerima, menjaga, membantu, dan memberkati mereka.

Saya bersyukur kepada Yehuwa kerana membenarkan saya mengenali-Nya dan melakukan kehendak-Nya. Dia juga memberi saya seorang suami yang baik. Tuhan membantu saya membuat keputusan yang bijak, dan sekarang saya memiliki hubungan baik dengan-Nya dan keluarga saya. Saya bersyukur kerana saya dan ibu dapat menjadi sahabat baik lagi. Saya gembira kerana dapat berdamai dengan Tuhan dan ibu saya.

Kami bersukacita dalam kerja litar