Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BIBLE MENGUBAH HIDUP

Saya Hidup Hanya untuk Diri Sendiri

Saya Hidup Hanya untuk Diri Sendiri
  • TAHUN LAHIR: 1951

  • NEGARA ASAL: JERMAN

  • DAHULU: DIA BERSIFAT SOMBONG, SUKA MEMBUAT KEPUTUSAN TANPA MENGIRA KEPENTINGAN ORANG LAIN

MASA LALU SAYA:

Semasa saya kecil, keluarga saya tinggal berhampiran Leipzig, Jerman Timur. Rumah kami berdekatan sempadan Czech dan Poland. Oleh sebab pekerjaan bapa saya, kami berpindah ke Brazil semasa saya berusia enam tahun. Kemudian, kami berpindah ke Ecuador.

Pada usia 14 tahun, saya dihantar ke sekolah asrama di Jerman. Pada masa itu, ibu bapa saya berada di Amerika Selatan. Jadi, saya harus berdikari. Saya bergantung sepenuhnya pada diri sendiri dan jarang memikirkan kesan perbuatan saya terhadap orang lain.

Semasa saya berumur 17 tahun, ibu bapa saya pulang ke Jerman. Pada mulanya saya tinggal bersama mereka. Tetapi saya berasa susah untuk mematuhi mereka. Jadi, saya berpindah keluar pada umur 18 tahun.

Saya mencuba mencari hala tuju dalam hidup. Setelah memerhatikan gaya hidup orang lain, saya berasa bahawa cara hidup terbaik adalah untuk menerokai bumi yang cantik ini sebelum manusia memusnahkannya.

Saya meninggalkan Jerman dan menuju ke Afrika dengan menunggang motosikal. Tetapi, saya terpaksa pulang ke Eropah untuk membaiki motosikal saya. Kemudian, saya tiba di sebuah pantai di Portugal. Di sana saya memutuskan untuk belayar menggunakan bot.

Saya menyertai sekumpulan pemuda yang ingin belayar merentasi Lautan Atlantik. Salah seorang daripada mereka, Laurie, kemudiannya menjadi isteri saya. Pada mulanya kami berlayar ke kepulauan Karibia. Selepas singgah di Puerto Rico, kami pulang ke Eropah. Saya dan Laurie mencari sebuah kapal layar untuk dijadikan tempat tinggal. Tetapi tiga bulan kemudian, impian kami hancur kerana saya diwajibkan untuk menyertai tentera Jerman.

Saya berkhidmat sebagai tentera laut selama 15 bulan. Pada masa itu, saya dan Laurie berkahwin. Kami masih merancang untuk mengembara. Sebelum saya menyertai tentera, kami membeli sebuah kapal penyelamat. Kami beransur-ansur mengubahsuai kapal itu menjadi sebuah kapal layar. Kami merancang untuk tinggal di dalam kapal itu sambil menjelajah planet yang indah ini. Selepas khidmat tentera saya tamat, kami berjumpa dengan Saksi-Saksi Yehuwa dan mula belajar Bible.

BAGAIMANA BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA:

Pada mulanya, saya berasa bahawa saya tidak perlu membuat banyak perubahan. Saya sudah berhenti merokok. Saya dan isteri juga sudah berkahwin secara sah. (Efesus 5:5) Saya berasa bahawa rancangan kami untuk menjelajah dunia dan melihat ciptaan Tuhan memang berbaloi.

Namun, hakikatnya, saya perlu mengubah perangai saya. Saya sangat sombong dan selalu memikirkan kebolehan dan pencapaian sendiri. Saya hanya hidup untuk diri sendiri.

Pada suatu hari, saya membaca ceramah yang disampaikan oleh Yesus. (Matius bab 5-7) Namun, saya tidak memahami maksud Yesus tentang kebahagiaan. Contohnya, dia berkata bahawa orang yang lapar dan haus akan bahagia. (Matius 5:6) Saya hairan mengapa hal ini dapat menyebabkan orang bahagia. Setelah mempelajari Bible, saya sedar bahawa kita semua mempunyai keperluan rohani. Tetapi kita mesti mengakui keperluan ini dengan rendah hati. Barulah kita dapat memenuhinya. Seperti yang dikatakan oleh Yesus, ‘Berbahagialah orang yang sedar bahawa mereka memerlukan Tuhan.’—Matius 5:3.

Selepas mula belajar Bible di Jerman, saya dan Laurie berpindah ke Perancis dan kemudiannya ke Itali. Ke mana sahaja kami pergi, kami menjumpai Saksi-Saksi Yehuwa. Saya berasa kagum kerana mereka bersatu padu dan benar-benar mengasihi satu sama lain. (Yohanes 13:34, 35) Kemudian, saya dan Laurie dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa.

Selepas dibaptis, saya terus berusaha untuk mengubah keperibadian sendiri. Saya dan Laurie memutuskan untuk belayar menyusuri benua Afrika dan merentasi Lautan Atlantik ke Amerika Syarikat. Semasa belayar, kami dikelilingi lautan yang berjuta-juta kilometer luasnya. Ketika itu, barulah saya sedar betapa kecilnya saya berbanding Pencipta yang agung. Semasa di tengah-tengah lautan, saya ada banyak masa untuk membaca Bible. Kisah hidup Yesus sangat bermakna bagi saya. Dia sempurna dan mempunyai kebolehan yang luar biasa, tetapi dia tidak meninggikan diri. Bagi Yesus, individu yang terpenting bukanlah dirinya, tetapi Bapanya di syurga.

Saya mendapati bahawa Kerajaan Tuhan perlu menjadi keutamaan hidup saya

Semasa merenungkan teladan Yesus, saya sedar bahawa saya perlu mengutamakan Kerajaan Tuhan. Kegiatan lain tidak patut menjadi lebih penting daripada Kerajaan Tuhan. (Matius 6:33) Apabila saya dan Laurie akhirnya mendarat di Amerika Syarikat, kami memutuskan untuk menetap di situ dan bertumpu kepada ibadat kami.

MANFAAT YANG SAYA TERIMA:

Gaya hidup saya dahulu yang berpusatkan diri sendiri sering kali membuat saya berasa kurang yakin dengan keputusan sendiri. Kini, saya dibimbing oleh kebijaksanaan yang paling unggul, yang tidak pernah tersilap. (Yesaya 48:17, 18) Saya juga menemui tujuan hidup sendiri, iaitu untuk menyembah Tuhan dan membantu orang lain mengenali-Nya.

Setelah menerapkan prinsip-prinsip Bible, hubungan saya dan Laurie menjadi lebih kukuh. Kami juga bersyukur kerana dikurniai seorang anak perempuan yang juga mengenali dan mengasihi Yehuwa.

Kehidupan kami bukannya tiada cabaran. Namun dengan bantuan Yehuwa, kami bertekad agar sentiasa percaya kepada-Nya dan tidak sekali-kali berputus asa.—Amsal 3:5, 6.