BAGAIMANA SUMBANGAN ANDA DIGUNAKAN
Para Mubaligh Menginjil “Sampai ke Hujung Bumi”
1 JUN 2021
Yesus memberitahu para pengikutnya, “Kamu akan menjadi saksi-saksiku . . . sampai ke hujung bumi.” (Kisah 1:8) Dewasa ini, Saksi-Saksi Yehuwa sedang melakukan tugas mereka sebagai penginjil dengan bersemangat. Namun, masih terdapat beberapa kawasan yang belum lagi menerima kesaksian yang menyeluruh, termasuklah di kota-kota yang besar. Selain itu, ada juga sesetengah negara yang masih mempunyai sedikit para Saksi. (Matius 9:37, 38) Jadi apakah yang dapat kita lakukan untuk mencapai sebanyak orang yang mungkin?
Untuk membantu melaksanakan perintah Yesus, Jawatankuasa Penyebaran bagi Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa, menugaskan para mubaligh ke tempat yang lebih memerlukan penyiar di serata dunia. Kini, terdapat 3,090 mubaligh di seluruh dunia. a Kebanyakan di antara mereka telah menerima latihan daripada salah satu sekolah Bible, seperti Sekolah Latihan Penginjil. Para mubaligh sudi meninggalkan rumah mereka dan berpindah ke negara lain. Melalui kematangan, latihan, dan pengalaman mereka, berita baik telah tersebar luas dan mereka telah menetapkan teladan baik bagi penyiar baharu.
Membantu Para Mubaligh agar Mereka dapat Membantu Orang Lain
Di setiap pejabat cawangan, Bahagian Penginjil yang di bawah jagaan Bahagian Kerja Penyebaran bekerjasama dengan Jawatankuasa Cawangan untuk menjaga keperluan para mubaligh, seperti tempat tinggal, penjagaan kesihatan, dan elaun kecil untuk menyara hidup. Pada tahun aktiviti penyebaran 2020, Saksi-Saksi Yehuwa telah membelanjakan hampir 27 juta dolar Amerika untuk menjaga keperluan para mubaligh. Dengan adanya bantuan tersebut, para mubaligh dapat bertumpu sepenuhnya dalam kerja penyebaran dan pada masa yang sama dapat menguatkan sidang tempatan.
Apakah sumbangan para mubaligh dalam kerja penyebaran? Frank Madsen, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Malawi berkata, “Melalui keberanian dan kemahiran mereka, para mubaligh telah membantu beberapa sidang untuk meliputi kawasan yang mencabar, seperti kawasan perumahan yang dikawal ketat oleh pengawal keselamatan, dan juga kawasan bahasa asing. Selain itu, usaha mereka untuk belajar bahasa dan budaya tempatan merupakan teladan baik bagi orang lain, dan mereka membantu kaum muda untuk menceburi khidmat sepenuh masa. Kami berterima kasih kepada Yehuwa atas bantuan para mubaligh.”
Seorang ahli Jawatankuasa Cawangan di negara lain berkata, “Para mubaligh membuktikan bahawa umat Yehuwa bersatu padu di serata dunia. Orang bukan Saksi pun dapat lihat dengan jelas bahawa budaya tidak menjadi penghalang bagi kita, sebaliknya ajaran Bible telah membantu kita untuk menjadi persaudaraan yang bersatu padu.”
Bagaimanakah para mubaligh membantu penyiar tempatan? Paulo, dari Timor-Leste, menghargai pasangan mubaligh yang ditugaskan dalam sidangnya. Dia berkata, “Cuaca di sini sangat panas. Tapi, walaupun mereka datang dari tempat yang sejuk, mereka tidak membiarkan cuaca panas menghalang mereka untuk menginjil. Mereka selalu ikut perjumpaan menginjil pada waktu pagi. Saya sering lihat mereka membuat kunjungan kembali pada tengah hari yang sangat panas dan juga pada waktu petang. Mereka telah bantu ramai orang untuk belajar kebenaran, termasuk saya. Dengan bersemangat, mereka menggunakan seluruh kehidupan mereka untuk berkhidmat kepada Yehuwa, dan hal ini mendorong seluruh sidang untuk berkhidmat kepada-Nya dengan sepenuh hati.”
Ketti, seorang perintis biasa di Malawi, menceritakan bagaimana pasangan mubaligh telah membantu keluarganya: “Apabila pasangan mubaligh ditugaskan dalam sidang kami, saya satu-satunya Saksi dalam keluarga saya. Pasangan itu telah menyokong saya dan mereka menjadi sangat rapat dengan keluarga saya. Teladan baik mereka telah membantu anak-anak saya melihat bahawa berkhidmat kepada Yehuwa boleh memberi hidup yang bahagia dan bermakna. Melalui teladan baik mereka, tiga anak perempuan saya sedang berkhidmat sebagai perintis biasa dan suami saya mula menghadiri perjumpaan.”
Bagaimanakah kos perbelanjaan para mubaligh dibiayai? Melalui sumbangan untuk kerja sedunia. Sebahagian besar sumbangan ini dibuat melalui donate.pr2711.com. Sumbangan anda amat dihargai.
a Para mubaligh itu ditugaskan ke sidang-sidang yang memerlukan bantuan dalam kerja penyebaran. Selain itu, terdapat 1,001 mubaligh lagi yang berkhidmat dalam kerja litar.