Lompat ke kandungan

Mencapai Masyarakat Orang Asli di Kanada

Mencapai Masyarakat Orang Asli di Kanada

Di Kanada, lebih daripada 60 bahasa peribumi dituturkan. Bahasa-bahasa ini merupakan bahasa ibunda kepada sekitar 213,000 penduduk di Kanada.

Untuk mencapai hati mereka, Saksi-Saksi Yehuwa telah mempelajari bahasa-bahasa peribumi Kanada. Pada penghujung tahun 2015, lebih daripada 250 orang telah menghadiri kelas bahasa orang asli yang diaturkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.

Tambahan lagi, Saksi-Saksi Yehuwa telah menterjemahkan bahan bacaan Bible, termasuk video-video singkat, ke dalam lapan bahasa peribumi di Kanada: Algonquin, Blackfoot, Plains Cree, Swampy Cree Barat, Inuktitut, Mohawk, Odawa, dan Ojibwa Utara. a

Mereka yang mempelajari bahasa peribumi berkata bahawa hal ini sangat mencabar. Carma mengimbas kembali pengalamannya semasa mula bekerja dengan kumpulan penterjemahan bahasa Blackfoot. Dia berasa seolah-olah sedang meraba dalam kegelapan. Katanya, “Saya tidak tahu bahasa itu. Saya tidak dapat baca atau faham apa yang dikatakan.”

“Perkataan-perkataannya sangat panjang dan susah disebut,” kata Terence, yang bekerja dengan kumpulan penterjemahan Swampy Cree Barat. Daniel, seorang penginjil sepenuh masa di Pulau Manitoulin, Ontario, pula berkata, “Bahan-bahan rujukan sangat terhad. Jadi, cara terbaik untuk menguasai bahasa Odawa adalah dengan bercakap dan belajar daripada orang tua dalam masyarakat itu.”

Adakah semua usaha ini berbaloi? Seorang wanita berbangsa Ojibwa berkata bahawa usaha yang dicurahkan Saksi-Saksi Yehuwa membezakan mereka daripada agama lain. Dia berkata bahawa Saksi-Saksi Yehuwa pergi ke rumah orang dan membaca ayat-ayat Bible dalam bahasa Ojibwa. Jadi, orang berasa selesa untuk membincangkan topik Bible.

Bert, seorang penterjemah yang dibesarkan dalam puak yang digelar Blood Tribe di Alberta, berkata, “Saya pernah nampak beberapa orang Blackfoot memeluk bahan bacaan dan berkata, ‘Inilah bahasa saya. Ini barulah untuk saya!’ Saya selalu nampak mereka menitiskan air mata apabila mereka melihat video dalam bahasa mereka.”

Seorang wanita yang menuturkan bahasa Cree sangat menghargai video Mengapa Belajar Bible? dalam bahasa ibundanya. Semasa menonton video itu, dia berasa seolah-olah ibunya yang sedang bercakap.

Mencurahkan Usaha

Ramai Saksi telah mencurahkan usaha yang keras untuk mengongsi harapan Bible kepada orang asli. Terence dan isterinya, Orlean, menceritakan salah satu pengalaman mereka. Mereka berkata, “Rombongan kami telah memandu selama 12 jam di atas jalan yang diliputi ais untuk menginjil di kawasan yang dipanggil Little Grand Rapids. Sambutan orang di sana sangat menakjubkan!”

Sesetengah Saksi sanggup membuat pengorbanan untuk berpindah ke tempat yang lebih dekat dengan orang asli. Setelah menikmati kerja penyebaran selama tiga bulan di Pulau Manitoulin, Daniel dan isterinya, LeeAnn, membuat keputusan untuk berpindah ke sana. Daniel menjelaskan, “Kami bersyukur kerana dapat meluangkan lebih banyak masa untuk membina hubungan yang baik dan memupuk minat orang di sana.”

“Saya Sangat Mengasihi Mereka”

Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa mengerahkan usaha untuk mencapai masyarakat orang asli? Rose, isteri Bert, menjelaskan, “Saya juga orang peribumi, dan saya tahu manfaatnya untuk menerapkan prinsip Bible. Hal ini mendorong saya untuk membantu orang lain.”

Orlean berkata, “Saya ingin orang Cree mendapat bimbingan daripada Pencipta kita. Ini suatu peluang istimewa kerana saya dapat membantu mereka menghampiri Yehuwa dan mengatasi cabaran mereka sekarang.”

Marc telah menyertai kumpulan penterjemahan bahasa Blackfoot. Apakah yang menggerakkannya untuk membantu orang asli di tempatnya? Dia berkata, “Ini kerana saya sangat mengasihi mereka.”

a Sesetengah bahasa ini juga dituturkan oleh orang asli di Amerika Syarikat.