Lompat ke kandungan

Detik Rohani yang Bersejarah!

Pengeluaran Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu

Detik Rohani yang Bersejarah!

Tanggal 3 November 2017 merupakan detik rohani yang bersejarah, kerana pada hari itu, Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu telah dikeluarkan dalam bahasa Melayu.

Terjemahan Dunia Baharu ialah terjemahan Bible yang menyampaikan firman Tuhan dengan tepat dan jelas. (2 Timotius 3:​16) Apakah perbezaan terjemahan ini dengan terjemahan-terjemahan Bible yang lain? Siapakah yang menghasilkannya? Mengapakah anda dapat yakin bahawa Terjemahan Dunia Baharu dapat dipercayai?

Adakah Bible yang saya gunakan diterjemahkan secara tepat?

“Setiap tahun, Bible ialah buku yang paling laris dijual di dunia,” tulis Declan Hayes, seorang profesor perdagangan antarabangsa. Sedihnya, ada penerbit yang sanggup mengetepikan ketepatan Bible. Contohnya, ada terjemahan Bible yang mengeluarkan petikan-petikan yang dianggap terlalu “membosankan.” Ada juga yang mengubah kata-kata atau ungkapan yang mungkin menyinggung perasaan pembaca dan menggantikannya dengan ungkapan lain. Contohnya, mereka memanggil Tuhan sebagai “Bapa-Ibu.”

Tetapi perkara terburuk yang telah dilakukan oleh para penterjemah Bible adalah mengeluarkan nama Tuhan, iaitu Yehuwa (atau “Yahweh”), daripada Bible. Dalam salinan kuno Bible, nama Tuhan ditulis dalam empat huruf Ibrani “YHWH” atau “JHVH.” Dalam Kitab-Kitab Ibrani * sahaja, nama ini muncul hampir 7,000 kali. (Keluaran 3:​15; Mazmur 83:18) Maka jelaslah bahawa Tuhan ingin kita mengetahui dan menggunakan nama-Nya!

Berabad-abad sebelum ini, orang Yahudi mempunyai kepercayaan karut bahawa mereka tidak patut menyebut nama Tuhan, dan pada kemudian hari, orang Kristian turut terpengaruh dengan kepercayaan karut ini. (Kisah 20:29, 30; 1 Timotius 4:1) Dewasa ini, banyak penterjemah Bible mengikut kebiasaan ini dan menggantikan nama Tuhan dengan gelaran “Tuhan” atau “Tuan.” Malah ada terjemahan yang bahkan tidak menyebut tentang nama Tuhan. Contohnya, kata-kata Yesus di Yohanes 17:6 seharusnya diterjemahkan sebagai, “Aku sudah membuat nama-Mu nyata kepada orang.” Tetapi sesetengah versi Bible, seperti Alkitab Berita Baik, mengeluarkan perkataan “nama” dan menterjemahkannya sebagai, “Aku sudah menunjukkan Engkau kepada semua orang.”

Ada juga cendekiawan yang mendakwa bahawa mereka hanya mengikut tradisi semasa menggantikan nama Tuhan dengan gelaran “Tuhan” atau “Tuan.” Yang lain mengakui bahawa mereka berbuat demikian kerana ingin meningkatkan penjualan Bible mereka. * Tetapi Yesus mengutuk tradisi atau adat yang menghina Tuhan. (Matius 15:6) Selain itu, perbuatan mereka ini tidak berasas. Yesus Kristus mempunyai banyak gelaran, seperti “Firman Tuhan” dan “Raja atas segala raja.” (Wahyu 19:11-​16) Maka wajarkah jika nama Yesus digantikan dengan gelaran-gelaran ini?

Perhatikan pernyataan yang dibuat oleh seorang konsultan penterjemahan di India. Konsultan ini menulis tentang akibat buruk mengeluarkan nama Tuhan daripada terjemahan Bible. Dia menulis, “Bagi orang Hindu, gelaran Tuhan tidak penting; mereka ingin mengetahui nama peribadi Tuhan, dan jika mereka tidak tahu nama itu, mereka tidak dapat mengenali individu yang menyandang nama itu.” Dalam cara yang sama, semua orang yang mahu mengenal Tuhan sebagai individu yang nyata juga perlu mengetahui nama-Nya. (Keluaran 34:​6, 7) Lagipun Bible menyatakan, “Semua orang yang menyeru nama Yehuwa akan diselamatkan.” (Roma 10:13) Ya, semua penyembah Tuhan wajib menggunakan nama-Nya!

Terjemahan yang memuliakan Tuhan

Terjemahan Dunia Baharu menggunakan nama Tuhan, iaitu Yehuwa

Tahun 1950 merupakan detik rohani yang bersejarah kerana pada tahun itu, Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Inggeris telah diterbitkan buat kali pertama. Pada dekad berikutnya, Kitab-Kitab Ibrani juga diterbitkan secara bertahap-tahap. Pada tahun 1961, Terjemahan Dunia Baharu yang lengkap dalam bahasa Inggeris telah diterbitkan. Ciri terpenting dalam Terjemahan Dunia Baharu ialah penggunaan nama “Yehuwa” hampir 7,000 kali dalam Perjanjian Lama. Terjemahan ini juga memulihkan nama Tuhan sebanyak 237 kali dalam Kitab Yunani Kristian. *

Perbuatan memulihkan nama Tuhan bukan sahaja memuliakan Tuhan tetapi bahkan juga membantu kita lebih memahami Bible. Misalnya, banyak Bible menterjemahkan Matius 22:44 sebagai, “Tuan telah berfirman kepada Tuanku.” Tetapi siapakah yang sedang bercakap kepada siapa dalam ayat ini? Sekarang perhatikan bagaimana Terjemahan Dunia Baharu menterjemahkan Matius 22:44: “Yehuwa berfirman kepada Tuanku.” Terjemahan ini selaras dengan apa yang tercatat di Mazmur 110:1. Dengan demikian, para pembaca dapat melihat dengan jelas perbezaan antara Tuhan Yehuwa dengan Anak-Nya.

Siapakah yang menghasilkan terjemahan ini?

Terjemahan Dunia Baharu diterbitkan oleh Watch Tower Bible and Tract Society, iaitu badan berkanun yang mewakili Saksi-Saksi Yehuwa. Selama lebih daripada 100 tahun, Saksi-Saksi Yehuwa telah mencetak dan mengedarkan Bible di serata dunia. Bible Terjemahan Dunia Baharu telah disediakan oleh sekumpulan Saksi-Saksi Yehuwa yang dipanggil Jawatankuasa Terjemahan Bible Dunia Baharu. Ahli-ahli yang menganggotai jawatankuasa ini tidak mencari kemasyhuran. Mereka tidak ingin nama mereka diketahui bahkan setelah mereka meninggal.​—1 Korintus 10:31.

Mengapakah Bible ini dipanggil Terjemahan Dunia Baharu? Edisi tahun 1950 terjemahan ini menjelaskan bahawa nama ini menunjukkan bahawa umat manusia sedang berada di ambang pintu “bumi baharu,” yang dijanjikan di 2 Petrus 3:​13. Seperti yang dinyatakan oleh jawatankuasa ini, memandangkan kita sedang menantikan dunia baharu, amat penting bagi kita untuk mempunyai terjemahan Bible yang menyerlahkan cahaya kebenaran Firman Tuhan.

Terjemahan yang tepat

Ketepatan diutamakan. Para penterjemah yang menyediakan versi bahasa Inggeris telah menterjemah secara langsung daripada teks-teks Ibrani, Aram, dan Yunani. Mereka mengkaji teks-teks kuno itu dengan teliti untuk menghasilkan terjemahan yang paling tepat. Mereka menterjemah mengikut teks kuno sedekat yang mungkin tetapi pada waktu yang sama, mereka menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh pembaca zaman moden.

Sesetengah cendekiawan telah memuji ketepatan Terjemahan Dunia Baharu. Pada tahun 1989, Benjamin Kedar-Kopfstein, seorang profesor bahasa Ibrani di Israel, berkata, “Semasa saya membuat kajian linguistik berkenaan Bible Ibrani dan terjemahan-terjemahan lain, saya sering merujuk kepada Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Inggeris. Semasa saya berbuat demikian, saya mendapati bahawa karya ini mencerminkan usaha yang tulus untuk memahami teks yang asal sedekat yang mungkin.”

Menyediakan Bible dalam bahasa lain

Selain bahasa Inggeris, Saksi-Saksi Yehuwa telah menyediakan Bible Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa-bahasa lain. Kini seluruh atau sebahagian Bible ini telah diterbitkan dalam beberapa bahasa. Untuk melaksanakan tugas ini, sebuah sistem penterjemahan yang menggabungkan hasil kajian Bible dengan teknologi komputer telah dihasilkan. Bahagian Khidmat Penterjemahan ditubuhkan untuk membantu para penterjemah. Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa menyelia kerja menterjemahkan Bible menerusi Jawatankuasa Penulisan. Bagaimanakah kerja ini dilakukan?

Apabila beberapa orang penterjemah bekerja bersama-sama, mereka dapat menghasilkan terjemahan yang lebih baik berbanding para penterjemah yang bekerja berasingan. (Amsal 11:14) Maka beberapa orang Kristian dipilih untuk menganggotai sebuah kumpulan penterjemahan. Pada umumnya, setiap ahli kumpulan ialah penterjemah yang berpengalaman. Kemudian kumpulan itu akan dilatih tentang prinsip-prinsip penterjemahan Bible dan penggunaan program komputer yang khas.

Kumpulan penterjemahan itu diminta untuk menghasilkan terjemahan Bible yang tepat dan mudah difahami. Mereka perlu menterjemah secara harfiah, sejauh yang diizinkan oleh bahasa mereka, tetapi pada masa yang sama tidak menyimpang daripada maksud asal. Marilah kita melihat bagaimana mereka berbuat demikian dalam Bible yang baru diterbitkan. Mula-mulanya, kumpulan penterjemahan akan memilih kata-kata Melayu yang sepadan dengan semua istilah utama yang digunakan dalam Terjemahan Dunia Baharu bahasa Inggeris. Mereka berbuat demikian dengan menggunakan sistem komputer Watchtower Translation System. Sistem ini menunjukkan perkataan-perkataan Bible yang bersinonim dan berkaitan. Sistem ini juga menunjukkan perkataan Ibrani atau Yunani yang menjadi dasar terjemahan bahasa Inggeris agar para penterjemah dapat mengkaji bagaimana perkataan-perkataan itu diterjemahkan dalam konteks yang lain. Setelah istilah-istilah Melayu dipilih, mereka akan mula menterjemahkan Bible ayat demi ayat.

Tetapi kerja menterjemah bukan sekadar menggantikan satu perkataan dengan perkataan yang lain. Para penterjemah perlu memastikan agar perkataan Melayu yang dipilih dapat menyampaikan maksud yang tepat dalam setiap konteks. Mereka juga perlu memastikan agar peraturan tatabahasa dipatuhi dan hasil terjemahan dapat dibaca dengan lancar. Sesungguhnya banyak usaha telah dicurahkan untuk memastikan agar Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Melayu dapat menyampaikan Firman Tuhan dengan tepat, jelas, dan mudah difahami. *

Anda digalakkan untuk menyelidiki Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu. Anda boleh membacanya dalam talian, menerusi aplikasi JW Library, atau mendapatkannya daripada sidang tempatan Saksi-Saksi Yehuwa. Semasa membacanya, anda dapat yakin sepenuhnya bahawa firman Tuhan telah disampaikan dengan tepat dalam bahasa anda. Pastinya anda akan bersetuju bahawa pengeluaran Bible baharu ini memang detik rohani yang bersejarah!

 

Beberapa Ciri Terjemahan Dunia Baharu

 

Pengenalan kepada Firman Tuhan: Mengandungi ayat-ayat Bible yang menjawab 20 buah soalan tentang ajaran asas Bible

Terjemahan yang tepat: Banyak usaha telah dicurahkan untuk memastikan agar teks-teks Ibrani, Aram, dan Yunani diterjemahkan secara tepat ke dalam bahasa Inggeris dan kemudiannya ke dalam bahasa Melayu

Rujukan silang: Membantu pembaca mencari ayat-ayat Bible yang berkaitan

Lampiran A: Menyatakan ciri-ciri Terjemahan Dunia Baharu, seperti gaya penulisannya, istilah-istilah yang digunakan, dan maksud nama Tuhan

Lampiran B: Mengandungi peta-peta dan gambar rajah berwarna-warni

^ per. 7 Biasanya dikenali sebagai Perjanjian Lama.

^ per. 9 Contohnya, penyelia penterjemahan Bible New International Version menulis, “Yehuwa ialah nama khas bagi Tuhan dan kita sepatutnya menggunakannya. Tetapi kita telah membelanjakan 2 1/4 juta dolar untuk menghasilkan terjemahan ini, dan kita akan membazirkan semua duit itu jika kita menggunakan nama Tuhan. Misalnya, jika kita menterjemahkan Mazmur 23 sebagai, ‘Yahweh ialah gembalaku,’ semua usaha kita pasti sia-sia sahaja.”

^ per. 12 Biasanya dikenali sebagai Perjanjian Baharu.

^ per. 24 Untuk mengetahui prinsip-prinsip menterjemah Bible dan ciri-ciri terjemahan bahasa Melayu, sila lihat Lampiran A1 dan A2 dalam Terjemahan Dunia Baharu.